Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Kajian / Agar Saya Mencintai Ulama
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Agar Saya Mencintai Ulama

Oleh: Ust. Dr. HJ. Ahmad Asri Lubis (والله الموفق)

Yang Mulia, Murabbi Prof. Dr. Muhammad Ratib Nablusi (حفظه الله) dengan gigih sering memperingatkan bahawa si Mukmin perlu memenuhi keperluan aqalnya dengan bekalan ‘ilmu’. Dan memenuhi keperluan qalbu dengan bekalan ‘cinta.’ Mencintai Allah, mencintai Rasulullah, mencintai rumah Allah, dan sebagainya.

Sejalan dengan ini dalam Hadis Qudsi yang agak panjang Allah, al-Maula SWT mengajar Kekasih-Nya, Muhammad SAW doa cinta seperti berikut,

(1)«أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ، وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُ إِلَى حُبِّكَ»

Kurnialah saya kemanisan mencintai-Mu, mencintai mereka yang mencintai-Mu dan mencintai amal ibadat yang mendekatkan diriku untuk mencitai-Mu’ (HR. Imam Tirmizi).

Bagaimana si hamba mencintai Allah, mencintai para pencinta, dan mencintai sarana cinta? Bagi merealisasikan tiga cinta ini tentulah dengan bimbingan para ulama. Ahli ilmu yang menikmati kemanisan tiga cinta ini.

Adab Terhadap Para Ulama

Seorang ulama kenamaan abad ketiga dan keempat Hijrah, Abu Abdu Rahman al-Sulami [رحمه الله] (235-412 H), dalam karya beliau Etika Bersahabat, mengatakan bahawa antara adab terhadap para ahli ilmu atau ulama ialah dengan cara,

  • Memuliakan para ulama, dan menerima buah fikiran dan gagasan mereka.
  • Merujuk mereka ketika menghadapi perkara penting dan saat menangani cabaran hidup.
  • Membesarkan dan menghormati kedudukan mereka yang memang dimuliakan Allah (سبحانه وتعالى), justeru Allah telah menjadikan para ulama penyambung risalah Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) dan pewaris baginda. Rasulullah berpesan (p. 86):

إن العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، إنَّما ورَّثوا العلم، فمن أخذَه أخذ بحظٍّ وافر

  • Ulama adalah pewaris nabi-nabi. Para nabi tidak meninggalkan dinar dan dirham. Mereka hanya meninggalkan ilmu. Siapa yang giat menimba ilmu, ia meraih habuan yang maksimal. (HR Abu Daud, Tirmizi, dll).

Menyingkap Nilai Air Mata Suci

Semua manusia kelak pada hari kiamat akan menangis. Hanya tiga kategori manusia yang tidak akan menangis:

  • Si hamba yang pernah menangis kerana takut akan azab Allah;
  • Si hamba yang menjauhkan pandangan dari yang haram;
  • Si mujahid yang bertanggang mata dalam perang sabil. (HR Tabarani).

Bersama Yang Mulia Syeikh Ali Jaber (حفظه الله)

Pada tahun 2012 semasa YM Syeikh Ali Jaber (حفظه الله) menjalankan safari dakwah di Semenanjung Malaysia, para pencinta majlis ilmu pernah bercurhat menyatakan bahawa YM Syeikh Ali Jaber memiliki keistimewaan tersendiri. Para pencinta ini menyatakan bahawa,

  • YM Syeikh Ali Jaber tutur kata, bahasa, dan pendekatan beliau bertazkirah membuat para pendengar setia mudah meneteskan air mata keinsafan.

Hal ini berdasarkan penguasaan YM Syeikh Ali Jaber terhadap Qur’an dan Hadis bahawa dua sumber utama ini sudah menjadi darah daging beliau. Demikian juga kisah para solihin. Perkara ini tidak asing lagi bagi profil YM Syeikh Ali Jaber, beliau dilahirkan di tanah suci, Medinah Al-Munawwarh. Menjiwai Qur’an dan Hadis sejak usia awal. Beliau dididik dan dibesarkan dalam suasana persekitaran para solihin, di bumi Medinah Nabawiyah Mubarakah.

Memang disaksikan para pencinta ilmu yang mengikuti halaqah ilmiyah YM Syeikh Ali Jaber bahawa para pencinta tersebut sangat mudah meneteskan air mata taubat saat mengikuti tazkirah beliau.

Dalam hal ini menurut Islam ada beberapa pertanda yang merupakan kecacatan pada individu Muslim antara lain jumudul ain, air mata yang membeku. Mata yang gersang atau susah menangis. Mengikut Hadis riwayat Anas (رضي الله عنه) Rasulullah memperingatkan,

أربعة من الشقاء: جمود العين، وقسوة القلب، وطول الأمل، والحرص على الدنيا.

Terdapat empat tanda celaka: air mata yang jumud membeku tak mahu menangis, hati yang kasar, tulul amal, dan cinta dunia keterlaluan. (HR al-Bazzar).

Sementara mengikut keterangan para jemaah pencinta ilmu di Bandar Seri Begawan (BSB), bahawa pada mulanya di Brunei YM Syeikh Ali Jaber berceramah didampingi oleh penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Tidak lama kemudian, pada kali kedua beliau datang ke BSB sudah boleh berbahasa Melayu / Indonesia yang dapat difahami dengan mudah.

Ada yang cuba mendekati YM Syeikh Ali Jaber, lalu bertanya,

Mengapa YM Syeikh Ali Jaber boleh menguasai bahasa Melayu secepat itu?

Jelas beliau adalah dengan berkat kekuatan munajat kepada Allah. Bahawa YM Syeikh bermunajat dan menadahkan tangan kepada Allah, al-Maula SWT.

Ya Allah berilah diriku kemampuan berbahasa yang dapat difahami oleh pendengar BM dengan mudah.

Memang betul apa yang diluahkan oleh penggemar ilmu di Selangor yang disebuntukan di atas. Antara keunikan YM Syeikh Ali Jaber bahawa hati para pendengar mudah sensitif, dan mudah meneteskan air mata saat mengikuti sesi tausyiah beliau (حفظه الله).

Wasiat Lukman al-Hakim

 يا بني جالس العلماء وزاحمهم بركبتيك، فإن الله تبارك وتعالى ليحي القلوب بنور الحكمة كما يحي الأرض الميتة بوابل السماء.

Wahai anakku sayang, rajinlah duduk bersama ulama. Rapatkan lututmu dengan mereka. Allah SWT menghidupkan hati dengan siraman nur ilmu, seperti mengidupkan tanah tandus dengan siraman hujan.

Justeru pada Hari Kiamat kelak termasuk insan pilihan Allah adalah si Mukmin yang saat berzikir menyendiri lalu air matanya derai berlinang. (رجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه). Amalan berzikir dan berdoa sangat digalakkan pada waktu-waktu mustajab.

Kisah Syeikh Ali Saat Menunggu Iqamat Solat Subuh

Pada suatu ketika saat bersama YM Syeikh Ali pada waktu itu sesudah azan Subuh menunggu waktu iqamat. YM Syeikh terdengar suara para jemaah berbicara dengan riuh rendah. Lantas ketika beliau berbicara dalam tazkirah selepas solat Subuh, YM Syekh menyatakan rasa tidak enak beliau dengan kebisingan suara yang beliau dengar tersebut. Beliau menambahkan bukankah saat antara azan dan iqamat termasuk waktu mustajab berdoa. Mengapa mengabaikan waktu mustajab seperti ini?

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (رضي الله عنه) Rasulullah SAW dalam pesan mesra baginda mengingatkan,

»الدُّعَاءُ لَا يُرَدُّ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ«

Doa antara azan dan iqamat tidak ditolak (HR Tirmizi dan Abu Daud).

Sangat disayangkan terutama pada era sekarang trend manusia mabuk atau ketagih apa yang mereka katakana media social (medsos). Bukankah media social para mukminin Kitbullah? Terutama sekali saat berada di rumah Allah. Khasnya ketika menunggu azan atau iqamat. Anda jangan pernah tidak merebut saat mustajab ini dengan menikmati kemanisan tilawah.

Dua Ayat Melebihi Nilai Dua Ekor Onta Besar Gemuk

Dikemukakan di sini kisah pencinta Qur’an dan perindu masjid. Beliau berkisah pada suatu kali saya terlihat dalam masjid seorang anak muda tergolong orang soleh, dan penggemar ilmu. Semasa berada di masjid tiba-tiba azan berkumandang. Setelah azan, pemuda ini solat ringan dengan bergegas dua rakaat. Kemudian beliau mengeluarkan handphone. Lalu bermain handphone dalam rumah Allah, dan melayari laman ini dan itu. Sehingga tiba waktu iqamat, si pemuda tersebut pun solat berjamaah.

Subhanallah, Rasulullah ﷺ memperingatkan dalam pesanan mesra baginda:

Uqbah bin Amir رضي الله عنه berkisah, pernah Rasulullah ﷺ muncul ketika kami berada di Suffah. Baginda ﷺ bertanya menguji para sahabat:

«أيكم يحب أن يغدو كل يوم إلى بطحان أو إلى العقيق [السوقين] فيأتي منه بناقتين كوماوين في غير إثم ولا قطع رحم. فقلنا: يا رسول الله نحب ذلك. قالأفلا يغدو أحدكم إلى المسجد فيعلم أو يقرأ آيتين من كتاب الله عز وجل خير له من ناقتين، وثلاث خير له من ثلاث، وأربع خير له من أربع ومن أعدادهن من الإبل»

Siapa dalam kalangan kalian yang mahu berangkat setiap pagi hari ke pasar (Bathan atau al-‘Aqiq), lalu semasa kembali dari pasar dia membawa dua ekor unta gemuk yang besar gratis?

Para sahabat menyahut,

Ya Rasulullah, kami semua mahu.

Lalu baginda ﷺ menjelaskan,

  • Jika kamu berangkat pagi hari ke masjid, lalu kamu pelajari atau kamu baca dua ayat Qur’an. Nilai amalan ini lebih baik dari nilai dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor unta.
  • Empat ayat lebih baik dari empat ekor unta.
  • Atau jumlah lain juga, si hamba akan meraih unta sebanyak jumlah ayat yang dibacanya. (HR Muslim). (2)

Bermakna, jika kamu baca 100 ayat al-Qur’an, kamu akan meraih 100 ekor unta. Justeru si pemuda dalam kisah di atas, jika dirinya merasakan dan mengetahui pesanan mesra baginda ﷺ ini, nescaya tidak mungkin dirinya dirintangi oleh faktor yang tak bernilai sedemikian rupa. Tidak mungkin bermain handphone dalam masjid. Atau berbicara kosong penuh kesia-siaan.

Sungguh bermanfaat peringatan yang disamapaikan oleh YM Syeikh Ali terdahulu mengenai memanfaatkan masa yang sangat mahal antara azan dan iqamat khasnya waktu solat Subuh. Betapa ruginya jika peluang keemasan ini terbiar sedemikian rupa. Malah yang paling merugi lagi insan yang terlambat dalam solat berjamaah. Imam Ghazali (رحمه الله) memperingatkan,

‘Jika si Mukmin terdengar suara azan pada siang hari bagi solat Zuhur atau Asar, sepatutnya ia tidak dirintangi oleh sebarang pekerjaan lain. Ia hendaklah segera bergerak dari tempatnya. Ia hendaklah meninggalkan segala pekerjaan yang dihadapinya. Juteru jika seseorang ketinggalan ‘takbiratul ihram’ bersama imam pada awal waktu, maka kerugian yang dialaminya, melebihi nilai semua kekayaan dunia ini.

Elakkanlah dengan bijak saat penyesalan yang kebanyakan manusia akan melaluinya dengan seribu sesalan kelak pada saat nasi sudah menjadi bubur.

يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الْإِنْسَانُ وَأَنَّى لَهُ الذِّكْرَى، يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي

Pada Hari Pembalasan kelak manusia akan teringat. Namun nasi sudah menjadi bubur. Ia akan meratapi dirinya sendiri, Sungguh sialan, mengapa dahulu di dunia daku tidak beramal bagi kehidupan diriku pada Hari Pembalasan ini? (QS al-Fajr: 23-24).

Maka dekatilah ulama yang mendekatkan anda kepada Allah, al-Maula SWT. Telitilah dalam mencari pembimping rohani anda. Dekatilah si Mukmin yang merangsang anda bermuhasabah dan menangisi lembaran gelap amal anda pada masa lalu.

وغير تقي يأمر الناس بالتقى طبيب يداوي الناس والطبيب مريض

Pembimbing yang tidak bertaqwa mengajak jemaah bertaqwa adalah bagaikan si perawat yang sakit yang cuba merawat orang lain.

Bak kata orang melayu, Bagaikan ketam menyuruh anak berjalan lurus.

Imam Hasan Basri (رحمه الله) memperingatkan,

Siapa mengenal Allah pasti akan cinta. Justeru siapa yang cinta selain Allah, tapi bukan kerana ada hubungannya dengan cinta Allah, maka ini adalah lantaran kejahilan dan kerana kelemahan pada ma’rifahnya terhadap Allah.  Maka cinta Rasulullah adalah lahir dari cinta Allah. Demikian juga cinta para ulama dan cinta para ahli taqwa. Justeru kekasih Sang Kekasih adalah dikasihi. Perbuatan yang dilakukan Sang Kekasih juga dikasihi. Utusan Sang Kekasih juga dikasihi. Semuanya bermuara kepada cinta asal. Pada hakikatnya tumpuan cinta hanyalah kepada Allah, al-Maula SWT. (3)

Doa Qalbun Salim

«اَللَّهُمَّ لَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ، يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ، إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ»

Ya Allah, janganlah Engkau hina saya pada Hari Berbangkit kelak. Pada hari itu harta benda dan anak pinak tiada berguna lagi. Yang tidak terhina hanya si hamba menghadap Allah dengan qalbun salim (QS, al-Syu’ara’: 87-89).

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ قَلْبًا سَلِيمًا، وَلِسَانًا صَادِقًا، وَنَسْأَلُكَ مِنْ خِيْرِ مَا تَعْلَمُ،

وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا تَعْلَمُ، وَنَسْتَغْفِرُكَ لِمَا تَعْلَمُ؛ إِنَّكَ أَنْتَ عَلَّامُ الْغُيوُبِ

Ya Allah, Dikau anugerahilah kami ini qalbun salim dan lisan yang jujur. Anugerahilah kami kebaikan yang Dikau ketahui. Lindungilah kami dari kejahatan yang Dikau ketahui. Kurniailah kami keampunan bagi dosa yang Engkau ketahui. Sungguh Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib. [HR Ahmad, Tirmizi, dan Nasai’].

(1) https://kalemtayeb.com/safahat/item/3117
(2) http://www.hadithportal.com/index.php?show=hadith&h_id=1389&uid=0&sharh=10000&book=31&bab_id=307
(3) http://www.manaratweb.com/%D9%85%D8%AD%D8%A8%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87/

(Manhajuna/IAN)

(Visited 591 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Sukses Umroh Doanya Terkabul 100%

Kajian Kisah Sholihin MASIH terasa segar kisah fakta yang terjadi lebih dua dasawarsa berlalu, persisnya …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *