Oleh: Ust. Dr. Hj. Ahmad Asri Lubis (والله الموفق)
إن الله يحب التوابين
Sungguh mahal nilai taubat si hamba pada sisi Allah!
Taubat adalah kunci Allah meredhai si hamba, dan tanda Allah mencintai anda. Taubat adalah rahsia kedekatan anda kepada Allah, dan jalan pintas bagi anda menuju Allah. Pingat kemuliaan yang termahal, maqam yang tertinggi, dan matlamat yang terunggul, adalah taubat.
Apa perlunya anda bertaubat?
Allah menggesa anda dan menggesa segenap mukmin agar bertaubat.
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang mukmin, kamu semua hendaklah bertaubat kepata Allah, agar kamu meraih kejayaan (QS. An Nuur: 31).
Jika si mukmin yang betaubat mendambakan kejayaan yang belum diyakininya, maka apa gerangan yang akan dilakukan oleh pemaksiat yang masih mengekali dosa?
Jangan lupa peristiwa neraca timbangan amalan anda akan anda saksikan di hadapan mata anda sendiri kelak pada Hari Kiamat. Amal kebaikan anda akan diletakkan dalam satu daun timbangan, dan kejahatan anda dalam satu daun timbangan yang satu lagi. Jalan anda untuk menjadikan daun timbangan kebaikan lebih berat nanti, adalah dengan bertaubat. Taubat nasuha yang memadam semua kejahatan dan dosa anda. Malah akan menukar kejahatan anda dengan kebaikan (QS, al-Furqan: 70). Dengan demikian timbangan kejahatan akan menjadi ringan. Anda akan meraih kejayaan yang gemilang.
Si mukmin yang bertaubat adalah naik taraf menjadi kekasih Allah (QS. Al-Baqarah: 222). Si mukmin yang bertaubat statusnya seperti si hamba yang bersih dari dosa. Jika si pendosa terkenang dosa yang dilakukannya lalu timbul rasa takut dalam hatinya, nescaya dosanya yang di Luh Mahfuz akan terhapus. Para malaikat akan mengabaikan dosa dan kesalahannya.
Hak Allah ke atas si hamba sangat mulia dan agung, tidak dapat diambil alih orang orang lain. Nikmat Allah pula tiada terhingga banyaknya. Semuanya mesti disyukuri. Oleh itu, si hamba yang pintar akan bergiat menutupi kelemahan dirinya, menutupi kekurangan dirinya. Dia akan bergiat dan tekun bertaubat pagi dan petang hari.
Si mukmin meyakini bahawa Allah menyukai si hamba yang bertaubat, menyukai si hambat yang beristighfar, menyukai si hamba yang membersihkan dirinya (QS, al-Baqarah: 222), dan si hamba yang tekun beribadat.
Kita jangan lupa bahawa iblis sentiasa berusaha menyesatkan dan menipu anak Adam selagi ruhnya masih ada. Iblis bersumpah berusaha menyesatkan anda selagi nafas anda masih naik turun. Malah Allah membela anda dari perdaya iblis dengan membuka pintu taubat. Selagi anda masih beristighfar. Selagi anda mendekati rahmat Allah dan menangisi dosa anda.
Allah bergembira menerima taubat anda. Para malaikat bahagia dengan taubat anda. Sementara syaitan sesak dan marah jika anda bertaubat. Para teman setia anda juga akan turut senang dan gembira. Musuh dan seteru anda akan merasa sedih. Lembaran amal anda akan bersih, derjat anda akan bertambah tinggi, kubur anda akal menjadi lapang, dan kedudukan anda akan menjadi tinggi.
Taubat adalah sumber kebaikan, pelenyap kegundahan, faktor yang melapangkan pintu rezeki, memudahkan perkara yang susah, barakat akan turun, segala kendala akan lenyap, nafsu si hamba akan tenteram, rohnya akan tenang, dan hatinya akan hidup aktif.
Allah dalam pesanan mesra-Nya memperingatkan,
وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Siapa yang tidak bertaubat tergolong orang yang zalim (QS. al-Hujurat: 11).
Maka manusia ada dua golongan, tiada tiganya.
- Mukmin yang bertaubat yang meraih kejayaan dan tergolong kekasih Allah.
- Insan zalim yang dililit kerugian dan termasuk kekasih iblis.
Nah, anda termasuk dalam golongan yang mana?