Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Kajian / Andai Rasulullah Bersama Anda
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Andai Rasulullah Bersama Anda

Oleh: Dr. Hj. Ahmad Asri Lubis
(Pensyarah KUPU SB, Negara Brunei Darussalam)

Wahai saudara tercinta!
Cuba bayangkan, seandainya anda sebentar lagi akan dikunjungi oleh Nabi Muhammad SAW dalam satu kunjungan yang belum anda persiapkan sebelumnya. Apakah gerangan yang akan anda lakukan? Nabi Muhammad adalah sebaik-baik hamba Allah yang berjalan di muka bumi. Lebih baik dan lebih mulia dari semua kepala negara dan para pemimpinnya. Lebih baik dari para barisan pemikir dan golongan genius.

Nabi Muhammad SAW adalah Khalilur Rahman (kekasih dan kesayangan Allah yang Maha al-Rahman), Baginda akan mendatangi anda di kediaman anda sendiri. Cubalah fikirkan sekarang, apakah yang akan anda lakukan wahai si miskin atau si kerdil? Apakah anda akan terus berlari menuju pintu rumah dalam keadaan genangan airmata sambil memberi senyuman dalam suasana yang tidak mungkin akan anda lupakan, seraya berkata,
Rasulullah SAW sedang berada di rumahku, yakni suatu hari yang paling bahagia dalam kehidupanku.

Ataukah tulang-tulang sendi anda sendiri akan menggeletar ketakutan, Lalu anda segera berlari menuju bilikmu sendiri untuk menyimpan cd/musik yang mengandungi lagu-lagu Arab (Melayu) dan Inggeris? Lalu anda tukar dengan kaset-kaset Al-Quran, zikir dan ceramah agama?

Adakah anda akan menyembunyikan pelbagai cd video murahan? Apakah anda akan membuang pelbagai gambar artis dan penari yang digantungkan di dinding, dan yang memenuhi laci-laci meja dan almari, yang mana Rasulullah memang tidak menyukainya?
Apakah anda mempunyai masa yang cukup agar anda dapat memiliki dan memelihara janggut dengan baik. Akan anda perlihatkankah siwak (sugi) sebagai ganti berus gigi. Dengan tujuan membesarkan dan memuliakan sunnah baginda. Sebagai bukti bahawa anda betul-betul mengambil berat tentang cara hidup Rasulullah SAW.

Wahai wanita, puteri-puteri, dan srikandi Islam, bagaimanakah sikap anda semasa menghadap Rasulullah? Apakah anda akan memakai pakaian yang menepati syarak? Justeru anda sendiri sejak beberapa tahun masih ragu untuk membuat keputusan memakainya. Seakan-akan pakaian muslimah tersebut merupakan suatu kecacatan pada pandangan anda.

Adakah anda akan menghadapi Baginda dengan rambut kepala yang terdedah, pakaian ketat, dan wajah yang dipenuhi pelbagai alat solek? Akan kenalkah Rasulullah melalui pakaian dan penampilan anda bahawa penghuni rumah yang sedang dikunjungi Baginda tersebut adalah seorang wanita Islam? Ataukah Baginda akan merasa ragu bahawa Baginda barang kali telah tersilap kerana mengetuk pintu rumah salah seorang pelakon Eropah yang tak terdapat sedikitpun padanya pertanda ketaatan dengan ajaran Islam?

Wahai si anak, adakah anda akan bergegas di hadapan Rasulullah menghormati dan memuliakan kedua ibubapamu dan kamu akan memanggil mereka dengan panggilan dan cara yang paling mereka sukai. Jika orang tuamu menyuruh melakukan sesuatu kamu lalu akan mentaatinya. Ataukah kamu akan memperlakukan mereka sepertimana yang anda lakukan selama ini sebelum kunjungan Baginda, lalu kamu berteriak, menengking dan menentang semua perkataan mereka tanpa mempedulikan perintah Allah dan perintah Nabi-Nya, Muhammad SAW.

Apa sikap anda jika Baginda membuka pembicaraan dengan anda:
 Saya tidak akan menanyamu mengenai solat Subuh yang anda tunaikan. Bukan pula mengenai solat berjamaah di masjid. Demikian juga mengenai qiyamullail. Memandangkan hal ini adalah merupakan perkara asas yang utama dalam kehidupan hamba mukmin. Bukankah demikian?
 Bagaimanakah perasaan anda mendengar perkataan Baginda? Segan silu, malu dan sedih? Ataukah anda akan menutupi hal ini semuanya dengan senyuman nifaq berpura-pura setuju atas apa yang Baginda katakan?

Apakah sekiranya bila Baginda tahu bahawa anda belum pernah solat Subuh sejak beberapa bulan. Malah anda merasa bangga dalam kalangan teman-teman anda bahawa anda baru pernah membaca Al-Quran satu kali sahaja selama hidupmu? Lalu apakah gerangan yang akan dikatakan Baginda terhadap anda? Adakah Baginda akan berkata:
• Anda adalah kebanggaan Islam dan umat.
• Ataukah wajah Baginda akan merah masam kerana Baginda marah, lalu Baginda akan menghilang meninggalkan tempat anda?

Apakah tajuk pembicaraan anda bersama Baginda? Adakah mengenai penderitaan dan kesengsaraan umat Islam di seluruh dunia akibat perlakuan zalim dan penindasan. Ataukah mengenai ilmu agama, sejarah umat Islam, dan mengenai peri pentingnya usaha untuk membangkitkan umat dan memajukan mereka dalam bidang agama, dan keduniaan secara teori dan paraktikal?

Ataukah anda akan berbual dengan Baginda mengenai teman wanita anda yang mana anda sering berbicara dengannya dalam telefon. Malah ia pernah anda bawa ke kelab dan pusat hiburan? Ataukah mengenai berita terkini tentang kumpulan penyanyi terkenal di U.K. bintang filem yang top di Mesir, cerita rambut pemain bola yang terkenal dari Italy, perlawanan bola sepak dan keputusannya yang terkini. Ataukah mengenai restoran terkini yang menyajikan pelbagai jenis khamar dan minuman memabukkan. Atau mengenai kejayaan anda dalam menubuhkan “satu kumpulan” di kawasan tempat tinggal anda yang bergiat dalam keruntuhan moral dan mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat. Hal ini semuanya bercanggah dengan sunnah Baginda SAW.

 SAUDARA TERCINTA, dapatkah anda membayangkan sikap anda sekarang terhadap apa yang tertera ini?
 Ataukah anda hanya dapat membaca gubahan kata ini sepintas lalu sahaja?
 Adakah anda memiliki perasaan menyesal atas sikap anda yang telah berlalu?
 Adakah anda memang masih belum siap untuk didatangi oleh Baginda dalam satu kunjungan singkat secara mengejut?

Apakah yang membuat anda masih lengah dan lalai?
Apalah yang telah berlaku ke atasmu wahai saudara tercinta?
Adakah anda lupa bahawa Allah SWT tetap mengamat-amati dan memperhatikan segala perbuatan dan tingkah lakumu siang-malam. Pandangan Allah tidak pernah lengah dan lalai dan tidak pernah tidur.

Allah membukakan dan memberi keampunan pada malam hari agar hamba yang melakukan kesalahan siang hari bertaubat dan kembali kepada-Nya. Allah membuka dan memberi keampunan pada siang hari agar hamba yang melakukan kesalahan di waktu malam hari bertaubat dan kembali kepada-Nya. Malah Tuhan Yang Maha Pengasih berseru di sepertiga malam terakhir:
Adakah di kalangan hamba-Ku yang ingin bertaubat, Aku menerima taubatnya. Adakah di kalangan hamba-Ku yang ingin memohon keampunan, Aku memberinya keampunan. Adakah di kalangan hamba-Ku yang ingin berdoa dan meminta sesuatu, nescaya Aku akan memberinya?”

Saudara, alangkah kasar dan kerasnya hatimu. Alangkah tandusnya hatimu. Sebenarnya anda mengejar fatamorgana keduniaan. Malah dunia sendiri pergi menjauh. Anda berpaling dan meninggalkan Allah, Kekasih yang membukakan 1001 pintu kerahmatan bagi anda, agar anda bertaubat dan bercurhat dihadapan-Nya.

Saudara, sesuatu yang diyakini, bahawa anda akan teringat kandungan risalah ini pada Hari Kiamat kelak. Pada saat itu anda hanya akan menjadi salah satu dua golongan.

 Pertama golongan yang sampai kepadanya risalah ini lalu kandungannya telah berjaya mengubah cara hidupnya ke arah yang lebih baik dan lebih cerah.
 Kedua golongan yang diliputi penyesalan besar disebabkan ia telah menerima risalah ini namun tidak mempedulikannya, tidak diamalkannya. Malah risalah suci ini akan menggugat dan mengecamnya pada Hari Kiamat.

Justeru, singsingkanlah lengan bajumu, segeralah bertaubat sebelum terlambat. Hindarilah penyesalan besar (QS, al-Mukminun 99-100).

Allah SWT juga memperingatkan:

اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ. مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ ذِكْرٍ مِنْ رَبِّهِمْ مُحْدَثٍ إِلَّا اسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ

Hari berhisab bagi umat manusia telah dekat. Malah mereka hanyut dalam kelalaian dan berpaling menjauh. Setiap kali mereka didatangi Rasul, mereka memang mendengarnya, namun masih tak serius (QS. Al-Anbiya:1-2).

Pendapat dan buah fikiran yang bernas ini berasal dari satu gubahan syair bertajuk If The Prophet Visited You. Kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab (dengan tajuk ( تخيل لو) bererti Bayangkanlah Seandainya! Diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh: Ahmad Asri Lubis

Cinta Rasulullah SAW

Ali bin Abi Talib (ra) ketika ditanya,
‘Bagaimana kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW?

Jelas beliau,
‘Demi Allah, Rasulullah jauh lebih kami cintai dari harta benda, anak pinak, malah ayah dan ibu kami sendiri. Baginda lebih kami sukai dari air sejuk saat kehausan.’

Termasuk ayat mengenai mahabbah Allah dan mahabbah Rasulullah,

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Tegaskanlah, (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri atau suami-suami kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai. Jika semuanya itu ternyata lebih kamu sukai daripada Allah dan Rasul-Nya, dan daripada berjihad fisabilillah, maka tunggulah saat Allah mendatangkan azab seksaNya. Justeru Allah tidak memberi hidayah kepada golongan yang fasik. (QS. al-Taubah: 24).

Terdapat delapan faktor perintang yang menghalangi si hamba dalam memaksimumkan cinta suci kepada Allah dan kepada Rasul. Iaitu:
o Ayah ibu dan datuk nenek
o Anak cucu dan keturunan
o Saudara mara
o Pasangan hidup
o Kaum keluarga
o Harta benda kesukaan
o Perniagaan yang takut merugi
o Rumah kediaman disukai.

Jika faktor-faktor ini mengatasi atau melebihi cinta Allah dan cinta Rasulullah, bermakna si hamba atau masyarakat siap dan rela menempah azab Allah buat diri mereka. Hal ini selain faktor dosa kemaksiatan, dan lain-lain. Wal’iyazu billah.

(Manhajuna/IAN)

(Visited 55 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Tetaplah Istikharah

Oleh: Ustadz Ahmad al-Fayiz Alih bahasa: Syarifuddin Ridwan Suatu ketika istriku bertanya: “Apakah engkau menyesal …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *