Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Hikmah / Kita Bagaikan Penjahat dan Penyamun Belaka
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Kita Bagaikan Penjahat dan Penyamun Belaka

Oleh: Dr. Ahmad Asri Lubis, MA

‘Jika saya amati keadaan kita, dan dibandingkan dengan para sahabat Rasul (رضوان الله عليهم), kita  ini bagaikan penjahat (penyamun) belaka.’(ادركت قوما نحن في جنبهم لصوص)  Demikianlah kenangan dan ungkapan generasi tabi’i, al-Rabi’ bin Khaithim (الربيع بن خيثم).

Tajuk sorotan kita adalah ungkapan tokoh tabi’i kenamaan, al-Rabi’ bin Khaitim (رضي الله عنه) beliau seorang teman baik sahabat kenamaan Abdullah bin Mas’ud (رضي الله عنه) . Abdullah sangat memuliakan tokoh tabi’i ini. Pada suatu hari beliau mengemukakan isi hatinya Setiap kali saya menyaksikan anda, saya teringat para ahli ibadat (المخبتين). Seandainya Rasulullah melihat anda, nescaya baginda akan mencintai anda.

Mengenai al-Rabi’ ini ulama kenamaan Sya’bi (رحمه الله) pernah berujar ‘Rabi’ adalah termasuk para siddiqin yang murni.’ Beliau adalah tergolong sahabat setia Abdullah bin Mas’ud (رضي الله عنه), dan terkenal dengan sifat wara‘nya. Ungkapan al-Rabi’ ‘Jika saya amati keadaan kita, dan dibandingkan dengan para sahabat Rasul (رضوان الله عليهم), kita  ini bagaikan penjahat (penyamun) belaka.’

Sungguh menarik saat kisah ungkapan ini terkeluar dari mulut Rabi‘. Bahawa ketika beliau jatuh sakit, dua sahabat beliau Hilal bin Isaf, bersama Munzir bin Ya’la al-Tsauri (هلال بين إساف و المنذر بن يعلى الثوري) datang menjenguk. Sebelum sampai di rumah Rabi’, Munzir berbincang dengan sahabatnya, Hilal. ‘Bagaimana pendapat anda, apakah perlu kita ajukan pertanyaan terlebih dahulu kepada Syeikh Rabi’, mengenai keinginan dan permintaannya. Ataukah sebaiknya kita berdiam diri sahaja, boleh jadi dia akan meminta sesuatu dari kita.’ Hilal menyatakan ‘Percayalah, jika anda duduk satu tahun penuh di hadapan Rabi’, beliau tidak akan buka mulut berbicara dengan anda, kecuali jika anda yang mendahuluinya berbicara. Pasti beliau tidak akan mendahului pembicaraan.’

Hal ini adalah kerana beliau sendiri, jika berbicara hanyalah zikrullah; dan diamnya dari bicara hanyalah untuk berfikir (hidupnya hanya zikir & fikir). Munzir berkata ‘Baiklah, dengan mengharapkan keberkatan Allah, kita berangkat sahaja ke rumah beliau.’ Kami pun meneruskan perjalanan menuju kediaman Syeikh Rabi’.

Sesampainya di hadapan Rabi’, dua orang sahabat beliau ini mengucapkan salam, sembari bertanya ‘Bagaimana kedaan Syeikh? Rabi’ menyatakan ‘Saya hamba yang daif, lemah, dan bergelimang dosa. Saya masih mampu makan sementara menunggu saat ajal tiba.’

Hilal mengajukan usulan ‘Di kota Kufah ini sekarang ada doktor pakar. Jika Syeikh mengizinkan, kami boleh memanggilnya datang ke sini untuk cuba merawat Syeikh.’

Rabi’ menjelaskan ‘Wahai Hilal, saya memang yakin berubat itu sungguh benar dianjurkan. Namun saya perhatikan kaum ‘Ad, kaum Tsamud, Ashabur Rass(أصحاب الرس), dan kaum-kaum yang lain masih banyak lagi. Saya amati pula peri kemajuan mereka mengenai kehidupan dunia dan tentang harta benda keduniaan. Sementara badan mereka jauh lebih kuat dan tegap dibandingkan dengan kita sendiri. Terdapat juga dalam kalangan mereka doktor dan pesakit, namun doktor dan pesakit tersebut semuanya lenyap binasa.’

Lantas Syeikh ini menarik nafas sedalam-dalamnya seraya menambahkan ‘Seandainya penyakit inilah yang menjadi masalah, nescaya kita sudah berhasil mengatasinya.’

Munzir memintak izin dan bertanya ‘Lantas, apa sebenarnya penyakit yang dimaksudkan, wahai Tuan Syeikh?’ Jelas beliau ‘DOSA.’ Munzir bertanya ‘Ubatnya apa?’

Kata Syeikh ‘Ubatnya ialah ISTIGHFAR.’ Munzir bertanya lagi ‘Kesembuhan dari penyakit ini bagaimana?’ Jelas Syeikh ‘Anda mesti BERTAUBAT, sesudah itu dosa tersebut jangan lagi dilakukan.’ Lantas Rabi’ memandang kedua sahabat beliau ini dengan lebih fokus, seraya meyakinkan ‘Peliharalah hati, peliharalah hati kamu. Apa yang ada dalam hatimu tidak diketahui manusia. Namun bagi Allah tidak ada yang tersembunyi. Carilah ubat hati ini.’

Munzir bertanya ‘Apa ubatnya.’ Kata Syeikh ‘Taubat yang murni.’ Sejenak kemudian Rabi’ menangis, sehingga tangisan beliau membasahi janggutnya.  Munzir justeru bertanya ‘Mengapa anda menangis. Justeru anda adalah personaliti yang cukup terkenal soleh?’ Rabi’ menjelaskan ‘Sungguh jauh sekalilah keadaan kita ini. Mengapa saya tidak menangis, saya sendiri mendapati generasi gemilang. Jika mereka dibandingkan dengan kita ini, kita ini bagaikan penjahat dan pencuri belaka.’ Generasi yang beliau maksudkan adalah sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) .

Seorang saleh, Abu Usman (رحمه الله) membuat ulasan mengenai hakikat dan realiti yang ironi ini ‘Wahai saudara, bagaimana pula keadaan saya dan anda?’ Ulama juga pernah berujar ‘Jika kita cuba mengimbas perihal generasi salaf (رضوان الله عليهم), semakin tersingkaplah keaiban kita. Kita tidak perlu banyak komentar. Marilah sama-sama kita renungkan perihal generasi salaf, kita akan menyedari keadaan mereka, dan akan menyedari keadaan kita, serta keadaan manusia yang berada di keliling kita.’ Wassalam!

(Manhajuna/IAN)

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA.

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA. Alumnus S1 (International Islamic Call College, Libya), S2 Universitas Tripoli, dan S3 UPSI, Perak-Malaysia. Saat ini, Da`i asal Sumatera Barat ini berdakwah di Semenanjung Malaysia, Bandar Seri Begawan & Pensyarah (dosen) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Malaysia.
(Visited 421 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *