Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Kajian / Ramadhan Mubarak Tetamu yang Dicintai (Bag. 1)
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Ramadhan Mubarak Tetamu yang Dicintai (Bag. 1)

Oleh: Prof Dr Musthafa as-Sibai’, Rahimahullah

Alih bahasa: Dr. Hj. Ahmad Asri Lubis, Pusat Bahasa, KUPU SB, Negara Brunei Darussalam

Buah fikiran ulama tersohor pada zamannya, PROF. DR. MUSTHAFA AL-SIBAI’ (1915-1964) masih tetap segar untuk dinikmati. Beliau berujar, bahawa setiap tahun kita didatangi tetamu yang mulia dan pendatang yang disayangi, iaitu bulan Ramadhan Mubarak. Sungguhpun demikian terdapat berberapa sikap atau pandangan manusia terhadap bulan ini.

1- Sekelompok manusia berpandangan bahawa bulan Ramadhan ini tidak lain hanyalah bulan yang mengenakan “sekatan” yang tak berfaedah sama sekali, tradisi keagamaan yang tak masuk akal, kerana tamadun dan fikiran manusia telah maju dan berkembang pesat, yang mana menurut dugaannya ikatan-ikatan dan peraturan agama yang membebankan ini tidak selaras dengan pemikiran dan tamadun. Golongan ini memang berazam tidak ingin berpuasa, mempamerkan sikapnya yang tidak ingin berpuasa, menggangap remeh terhadap orang yang berpuasa,

2- Sekumpulan manusia lain, melihat bulan Ramadhan ini, hanya bulan untuk berlapar yang tidak berupaya perut mereka melakukannya, bulan berdahaga yang tidak mampu pembuluh darah mereka menghadapinya. Golongan ini juga berazam untuk tidak mengerjakan puasa dalam bulan mulia ini, suka menggangap enteng terhadap golongan mukmin yang berpuasa, mereka berpura-pura puasa di hadapan orang-orang yang tidak mengenal mereka, dan mempamerkan perihal mereka tidak berpuasa dihadapan  orang-orang yang tidak mencegah atau tidak membenci sikap jahat mereka tersebut.

3- Sementara terdapat penganut Islam pula, yang berpandangan bahawa bulan Ramadhan adalah musim tahunan bagi hidangan lazat dengan bermacam-macam makanan dan minuman, dan peluang yang indah untuk berjaga malam (begadang) dan hiburan yang berpanjangan hingga terbit fajar. Sementara pada waktu siang tidur berhempas pulas hingga menjelang matahari terbenam. Jika ia melakukan sebarang tugas atau pekerjaan, kelihatan petanda kebosanan pada wajahnya, cara ia bergaul dengan manusia tiba-tiba semakin berubah atau bertambah buruk, jika ia sebagai seorang pertugas atau pegawai, tugas yang dihadapinya terasa berat dilakukan.

4-Minoriti manusia malah merupakan kumpulan yang terhad bilangannya, mempunyai pandangan bahawa bulan Ramadhan bukan seperti pandangan tiga golongan tersebut diatas. Bagi mereka Ramadhan adalah bulan yang paling mulia, Bulan atau peluang melakukan latihan keimanan untuk memperbaharui iman, memperbaharui nilai-nilai murni, sifat itsar, sifat sabar yang mulia, dan pendidikan ketuhanan atau keimanan yang hebat dan mulia

ADAPUN orang yang berpandangan bahawa puasa tidak relevant dengan kemajuan tamadun di era moden, maka kita boleh menggesa mereka agar menyemak pendapat para pakar perubatan (jasmani dan ruhani) mengenai penemuan-penemuan pengetahuan moden tentang hikmat dan faedah puasa yang tidak ditemui oleh manusia selain dalam agama suci Islam.

Adapun orang-orang yang keazaman dan keinginan mereka kalah atau tewas di saat berhadapan dengan perintah berlapar dan mengerjakan puasa dan pantang larang dalam berpuasa, sedang mereka beriman tentang kewajiban dan kesucian puasa, maka kita sangat perlu mengingatkan mereka bahawa kita sekarang ini sedang berada ditengah-tengah “pertarungan penentuan” dalam perjalanan sejarah umat islam. Sedang puasa ini sebenarnya hanyalah amalan bersabar buat beberapa ketika dalam menghadapi beberapa sekatan-sekatan atau peraturan dalam kehidupan ini yang berkenaan dengan makanan dan minuman. Maka sesiapa yang mengaku kalah berjuang dalam menghadapai nafsu atau dirinya sendiri di saat memikul tugas kesabaran untuk beberapa jam di siang hari, tentu ia akan jauh lebih mudah kalah dalam menghadapi barisan musuh agama di saat atau semasa kesusahan perjuangan selama berhari-hari, berbulan  atau bertahun. Sesungguhnya golongan yang mudah kalah dalam pertempuran yang kecil, sungguh tidak wajar meraih kemenangan bagi kemaslahatan umat di medan perjuangan besar. Sesiapa yang mengaku kalah dalam perjuangan melawan nafsu dalam jangka masa beberapa jam, bererti ia sendiri telah kehilangan salah satu ciri-ciri atau sifat para pejuang yakni al-rujulah (الرجولة) atau sifat sebagai seorang lelaki. Sesipa yang terasa berat atau susah hidup dalam suasana para mujahidin, bererti ia sendiri telah mengeluarkan dirinya sendiri daripada medan perjuangan para syuhada  dan barisan pahlawan.

SETIAP individu  dari umat islam dalam menyelurusi perjalanan hidup yang panjang sangat perlu kepada masa-masa berehat agar ia berusaha membaik pulih keadaan dan perilakunya yang telah rosak binasa, memperbaharui sendi-sendi kehidupannya yang telah reput, memperbaiki hal ehwalnya yang telah longgar atau goyah. Maka saat mulia di bulan Ramadhan adalah saat penentuan dalam sejarah setiap individu dan umat. Oleh itu jika anda tahu bagaimana anda meraih faedah dan kemanfaatan dari saat mulia ini, ia akan menjadi anak kunci kebaikan buat anda pada masa depan, anak kunci kemenangan yang akan anda raih dalam medan pertempuran, anak kunci perjuangan abadi yang akan tercatat buat anda dalam sejarah.

Bulan Ramadhan adalah saat kehidupan rohani yang ditemui orang ramai dan individu untuk memperbaiki sejarah kehidupan yang mereka lalui.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah perhentian bagi mengisi atau men-charging kekuatan kejiwaan, kerohanian dan akhlak yang sangat diperlukan oleh setiap individu dan kumpulan dalam hidup ini, dan diperlukan oleh setiap individu dalam bermasyarakat. Ramadhan akan membekali kita peringatan tentang al-Haq (kebenaran) yang dengannya, tegak kewujudan dan kesinambungan langit dan bumi, budi pekerti atau etika “kekuatan” yang tidak akan mendapat pertolongan suatu umat melainkan denganya. Keingingan terhadap perihal kemerdekaan yang tidak akan sempurna kemuliaan manusia kecuali dengannya.

Kebenaran (al-haq), kekuatan dan kebebasan ini adalah sebahagian kurnia dan anugerah Ramadhan kepada kita dalam menempuh hari-hari berlapar dan berdahaga. Saya (Prof) tidak menyaksikan dalam kehidupan saya seorang berpuasa yang benar-benar faham erti puasa, ia merealisasikan hikmah dan falsafah puasa, kecuali ia adalah seorang pejuang dalam menegakkan kebenaran (al-haq), individu yang pantang mundur, Pantang kalah dalam lapangan pertarungan (perjuangan), merdeka dengan erti kemerdekaan yang paling mulia tidak mengenal kehinaan dan perhambaan.

Individu muslim yang berpuasa secara patuh dan dengan jiwa ubudiyah terhadap Allah, tunduk terhadap kebesaran Allah, jinak dan selesa di saat berada di hadapan Allah, ia akan melihat bahawa egoistic, mementingkan diri sendiri, perihal memencilkan diri, perihal terjauh dari hidup bermasyarakat dalam mengatasi permasalahan dan penderitaan mereka, adalah satu corak “kebatilan” dan “keonaran”, yang harus dijauhi dan dicegahnya.

Ia melihat bahawa segala yang berkenaan dengan hawa nafsu, kezaliman, penindasan, pemusuhan, persengketaan, adalah satu kelemahan besar yang membunuh ruh umat islam, yang sangat patut sekali ditentang dan disekatnya.

Ia memandang dalam kelazatan munajat bersama Allah, dalam menerapkan syariat Allah dalam hal perkara yang dilarang dan perkara yang disuruh oleh Allah, adalah “kebebasan” atau “kemerdekaan” yang terjauh dari penghambaan terhadap selain Allah, termaksuklah yang berkenaan dengan angan-angan kosong yang menipu. Individu yang sedemikian halnya, adalah merdeka buat selama-lamanya, inilah individu yang tidak terbukti kemerdekaannya semasa berpindah tempat dari satu tempat ke tempat yang lain, malahan kemerdekaannya adalah dalam keupayaan mengendalikan dan mengekang emosi dan keinginannya ia mampu menyekat apa yang dikehendakinya (menurut ukuran keagamaan ).

Inilah dikatakan kemerdekaan atau kebebasan rohani atau kejiwaan, meskipun ia ditutupi atau dibatasai oleh dinding: kemerdekaan dan kebebasan cara berfikir, walaupun ia berada dalam negeri kemiskinan: kermerdekaan atau kebebasan iradah yakni kemahuan, walau ia dibelengu dengan besi sakalipun. Inilah sebenarnya kebebasan dan kemerdekaan yang benar-benar wajar atau layak dengan kemuliaan manusia. Manalah dapat dibandingkan kemerdekaan yang sedemikian rupa dengan kebebasan yang bersifat semu dan bercorak kebendaan?

Pemahaman dan pengertian yang tepat tentang Ramadhan ini dan tentang falsafah Ramadhan, dan etika yang sempurna tentang puasa atau shiam dan adab-adab shiam, inilah yang telah mengukir sejarah kemenagan islam dahulu dan sekarang dalam pelbagai pertempuran menegakkan kebenaran atau al-haq yang sangat cukup jelas dan terang tanpa sebarang keraguan. Kefahaman ini jugalah yang telah melahirkan barisan pejuang atau tokoh pembaharuan, tokoh perundangan dan ilmuan ulung yang merupakan barisan para ulama kenamaan yang ulung.

(Manhajuna/IAN)

(Visited 183 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Sukses Umroh Doanya Terkabul 100%

Kajian Kisah Sholihin MASIH terasa segar kisah fakta yang terjadi lebih dua dasawarsa berlalu, persisnya …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *