Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Hikmah / Pesan bagi Generasi Muda Mengharungi Era Globalisasi
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Pesan bagi Generasi Muda Mengharungi Era Globalisasi

Alih Bahasa: Ust. Dr. HJ. Ahmad Asri Lubis (والله الموفق).

Wahai anakku,

Ingatlah bahawa google, facebook, twiter, whatsapp, malah semua media social (?) adalah bagai lautan dalam. Di dalamnya sudah banyak akhlak orang kenamaan yang hanyut tenggelam. Berapa banyak akal manusia yang rosak binasa dalam lautan ini. Terutama para belia, malah juga golongan veteran yang rambut kepalanya sudah memutih. Ombak dan gelora media ini telah menghilangkan sifat malu barisan puteri-puteri mukminah. Sudah ramai masyarakat yang hancur binasa dalam lautan ini.

Awas dan hati-hatilah saat melayari lautan dalam ini. Anda hendaklah bagai lebah yang hanya hinggap pada tempat yang baik penuh makna dan kemanfaatan. Maka anda hendaklah melayari halaman yang mendatangkan manfaat terutama buat diri anda, kemudian baru bagi orang lain.

Wahai anakku,

Kamu jangan seperti lalat yang hinggap di mana sahaja mengikut keinginannya, hinggap di tempat yang tak baik dan yang baik juga. Lantas dengan demikian serangga ini mengangkut penyakit tanpa disedarinya.

Wahai anakku,

Internet juga bagai pusat perniagaan yang besar yang di dalamnya tak ada siapa pun yang ingin memberi barangan atau produknya secara gratis tanpa pulangan.

Setiap orang menginginkan pulangan atau imbalan. Malah terdapat pihak yang bermaksud kehancuran akhlak sebagai imbalan sesuatu yang dikemukakannya. Ada pula yang ingin mengemukakan idea yang jahat merosak minda. Ada juga yang mengejar populariti. Memang ada juga yang ingin islah, atau ke arah pembaikan dan kebaikan. Namun anda jangan menerima sesuatu sebelum anda teliti dengan baik.

Wahai anakku,

Awas, kamu jangan mengklik semua situs yang kamu layari, kerana sebahagian situs ini hanyalah perangkap, tipu muslihat, kejahatan yang dahsyat, keanehan yang mencengangkan, serta kehancuran dan menghancurkan.

Wahai anakku,

Kamu jangan sekali-kali menyiarkan sesuatu yang dianggap jenaka. Demikian juga yang berupa kabar burung yang tak pasti. Kamu jangan suka copy-paste tentang kedosaan dan perkara haram. Ingatlah, hal yang demikian hanyalah barang dagangan musuh yang anda sendiri sebagai penjual dan partnernya dalam hal kejahatan dan kebaikan.

Maka sebelum kamu kemukakan kamu sendiri hendaklah bijak memilih produk yang dikemukakan. Si pelanggan atau si pembeli tak pernah berbincang semasa transaksi.

Wahai anakku,

Sebelum kamu menulis ulasan, sebelum share atau berkongsi, fikirlah terlebih dahulu. Adakah sesuatu itu diredhai Allah atau kah Allah memurkainya?

Wahai anakku,

Kamu jangan mudah percaya mengenai ‘persahabatan’ sebelum kamu melihat dengan mata kepalamu sendiri. Jangan mudah percaya tentang seseorang mengenai apa yang ditulisnya. Mereka sebenarnya ramai yang menyamar. Gambar profile mereka tidak betul. Akhlak mereka dipolish, ungkapan kata mereka diperindah. Mereka mamakai topeng. Memang dengan sengaja berbohong.

Berapa ramai dalam kalangan mereka yang terlihat bagai ahli agama, justeru dia adalah insan yang paling bodoh. Berapa ramai orang yang kelihatan indah menawan malah dia orang yang paling bodoh atau jelek. Malah berapa ramai orang yang pemurah justeru dia yang paling bakhil. Dan berapa ramai orang yang kononya pemberani malah dialah yang paling penakut.

Hal ini selain hanya mereka yang dipelihara dan diberi rahmat oleh Allah. Iaitu orang yang jujur dan ikhlas memberi maklumat pengenalan diri. Maka kamu hendaklah termasuk orang yang dirahmati Allah.

Wahai anakku,

Awasilah mengenai penggunaan nama samaran. Sebenarnya pemilik nama samaran tersebut kehilangan kepercayaan terhadap diri. Justeru kamu tak usah percaya kepada mereka yang tak percaya terhadap dirinya. Awas, kamu jangan mahu memakai nama samaran. Allah (سبحانه وتعالى) mengetahui yang terselindung dan yang tersembunyi.

Wahai anakku,

Kamu jangan pernah melukai mereka yang melukai hatimu. Semestinya kamu hendaklah menampilkan keperibadian dirimu. Orang yang melukai hatimu tersebut menampilkan keperibadian dirinya sendiri. Kamu juga menampilkan akhlak sejatimu, bukan akhlaknya. Semua bejana akan menampilkan isi yang ada di dalamnya.

Wahai anakku,

Takuti dan awasilah sesuatu yang kau salin dan kau tulis. Ingatlah, saat engkau menulis, malaikat juga menulis, malah Allah memonitor dan mengawasi semua pihak. Hal ini jika disalahgunakan akan melahirkan penyesalan dan kerugian.

Wahai anakku,

Perkara yang paling saya takuti dan paling merisaukan diriku mengenai dirimu dalam samudera alam maya atau internet yang luas dan berbahaya, ialah jika engkau menyaksikan perkara yang haram, serta menukil sesuatu kedosaan dan perkara keruntuhan akhlak.

Jika engkau mendapati dirimu sendiri telah terjatuh ke dalam perkara haram seperti ini, maka sewajarnya kamu perlu mengambil iktibar dari sarana internet ini dalam kegunaan kemaslahatan dirimu sendiri, dan dalam hal berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat dan umat. Kamu perlu bergiat dalam menyiarkan agama dan akidah suci anutanmu.

Namun jika seandaikan engkau dapati dirimu sendiri telah terpuruk dalam lumpur internet yang jelas haram, maka larilah dengan segera dari dunia internet, sebagaimana engkau lari dari bahaya binatang beruang yang ganas. Jika engkau tidak lari menyelamatkan diri, bermakna neraka sudah menantimu. Malah kelak Allah (سبحانه وتعالى) sendiri yang akan menjadi seterumu.

Wahai anakku,

Sebenarnya, jerat atau penjebak utama bagi syaitan adalah faktor ghaflah atau kelalaian dan faktor kesyahwatan. Justeru yang dua faktor negatf inilah tiang utama media internet.

Yakinilah, bahawa sarana ini dijadikan bukan untuk kelalaian dirimu, malah untuk kegunaan dan sarana positif. Maka bijaklah dalam memanfaatkan sarana ini. Jangan sampai dirimu menjadi mangsa. Jadikanlah sarana ini untuk membina yang terbaik, jangan untuk meruntuh binaan. Jadikanlah sebagai sarana kebaikan, jangan menjadi sarana kerugian.

***

Ya Allah, saya telah menyampaikan dan menegakkan kebenaran ini. Justeru kelak ya Allah Engkau lah sebagai saksi.

Besar harapan saya, wahai saudara yang dikasihi agar mesej ini disebarkan kepada orang lain. Setiap Muslim dan semua pihak, mengikut kapasiti masing-masing perlu bergiat dan berusaha dalam hal memberi khidmat bimbingan dan menyebarkan semangat keinsafan yang terkandung dalam risalah sederhana ini.

Referensi: https://www.hawaaworld.com/showthread.php?t=4451560

(Manhajuna/IAN)

(Visited 35 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Kedudukan Niat dalam Agama

Oleh: Abu Abdurrahman Fahd Al-Ammari Alih bahasa: Muthahhir Arif Niat merupakan perkara terpenting dalam syariat …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *