Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Kajian / Alquran / Mutiara Surah Al-Zukhruf
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Mutiara Surah Al-Zukhruf

سـم اللـه الرحمـن الرحيـم

Bersama Murabbi Prof. Dr. Muhammad Ratib Nablusi (رحمه الله تعالى)

Alihbahasa: Dr. Hj. Ahmad Asri Lubis (Pensyarah / Dosen KUPUSB, Brunei Darussalam)

سورة الزخرف – تفسير الآيات 36 – 39

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيّدنا محمد الصادق الوعد الأمين، اللهم لا علم لنا إلا ما علَّمْتنا إنك أنت العليم الحكيم اللهم علِّمنا ما ينْفعنا وانْفعنا بِما علَّمتنا وزِدْنا عِلما، وأَرِنا الحق حقاً وارْزقنا اتِّباعه وأرِنا الباطل باطِلاً وارزُقنا اجْتنابه، واجْعلنا ممن يسْتمعون القول فَيَتَّبِعون أحْسنه وأدْخِلنا برحْمتك في عبادك الصالحين.

Saudara yang dicintai, kita bersama menikmati pesan mesra Allah, al-Maula SWT menerusi ayat 36 Surah al-Zukhruf. Allah, al-Maula SWT memperingatkan:

﴿وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ. وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ. حَتَّى إِذَا جَاءَنَا قَالَ يَا لَيْتَ بَيْنِي وَبَيْنَكَ بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ فَبِئْسَ الْقَرِينُ (38) وَلَنْ يَنْفَعَكُمُ الْيَوْمَ إِذْ ظَلَمْتُمْ أَنَّكُمْ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ﴾

Manusia yang lengah dari al-Qur’an dan zikrullah, nescaya tersedia baginya syaitan khas. Syaitan inilah qarin, pendampingnya. Qarin ini akan memesongkan manusia dari jalan yang betul. Malah mereka menduga dirinya betul. Sehingga kelak, saat berada di hadapan Allah, manusia mengeluh dan menyesal: Alangkah baiknya sekiranya dulu antara saya dengan kamu seperti timur dan barat. Ternyata kamu ini qarin yang sangat jahat. Pada hari ini tiada berguna sesalan lagi. Kamu telah berlaku zalim. Kamu semua akan sama-sama menerima azab. (QS, al-Zukhruf:36-39).

Dalam hidup ini umat manusia diberi tugas mulia agar beribadat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Dengan hikmah Allah yang Maha Agung, Allah menciptakan malaikat bertugas membisikkan kebaikan. Sebaliknya pula menciptakan syaitan pencetus bisikan jahat. Namun sebenarnya syaitan tersebut tiada baginya sebarang daya upaya.

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِي عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِي مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Pada hari pembalasan kelak, saat balasan amal telah ditetapkan, syaitan membela diri seraya berkata, ‘Allah telah menjanjikan janji yang benar kepada kalian. Aku juga menabur janji palsu. Justeru saya ini tiada kuasa apa-apa ke atas dirimu. Saya hanya cuba mempengaruhi kamu lalu kamu turuti. Kalian  jangan mencela saya celalah dirimu sendiri. Saya tiada kuasa untuk membantu kamu, kamu juga tidak kuasa membantu saya. Saya berlepas tangan atas kesyirikan kamu terhadap diriku di dunia. Yang pasti habuan orang zalim adalah azab yang pedih. (QS, Ibrahim: 22).

Syaitan, qarin ini yang mengganggu insan tiada baginya kuasa sama sekali. Peranannya hanya mengganggu, jika manusia tidak peduli nescaya dirinya akan meraih kenaikan darjat. Namun jika manusia itu memberi respon baik, atau setuju, maka ini kan pilihan dirinya sendiri. Justeru peranan syaitan hanya penggerak. Malah syaitan sendiri, tanpa dikehendakinya, dan tanpa diingininya adalah penyebab temperatur keimanan melonjak naik dalam kehidupan mukmin.

Terkadang terdapat di pasaran pelbagai karya yang menyesatkan umat. Mungkin ada yang bertanya,

Bukankah Allah Maha Mengetahui bahawa kandungan karya ini semua adalah mengenai kesesatan? Bagaimana Allah membenarkan si pengarang menyusun karya sebegini? Bagaimana Allah izinkan untuk terbit?

Kitab seperti ini adalah salah satu faktor temperature iman dalam masyrakat Islam turut meningkat. Pelbagai kekeliruan dan kesesatan dilontarkan. Isi buku sebegini akan dibaca, disemak, dan dikritik secara ilmiyah. Dengan demikian dalam masyarakat Islam pemikiran jernih akan bergerak dan berkembang. Allah, al-Maula SWT memperingatkan:

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ﴾

Demikianlah Kami ciptakan bagi tiap-tiap nabi ada musuh dalam kalangan ‘syaitan manusia’ dan ‘syaitan jin.’  Mereka saling mengemukakan ungkapan indah memperdaya. Seandainya Allah menghendaki nescaya mereka tidak akan melakukannya. Maka biarkanlah mereka bersama kedustaan itu. (QS, al-An’am: 112).

Maka perlu diyakini, bahawa jika terjadi sejenis kesesatan dilakukan, nescaya ada pula pihak kebenaran yang bergiat menggerakkan pihak yang berlawanan menuju kejernihan.  Syaitan sebagai makhluk ciptaan Allah dijadikan sebagai faktor penggerak menuju kesesatan, namun berapa banyak berlaku bahawa pengaruh jahat syaitan ini juga sebagai faktor sebahagian manusia beroleh hidayah Allah.

Boleh jadi berlaku, terdapat seorang anak derhaka. Lalu dia sendiri terjumpa ada orang lain sedang mencaci maki ayahnya. Si anak tidak dapat menerima dan menanggung caci hamun sedemikian. Keadaan ini mencetuskan perasaan belas kasihan si anak terhadap ayahnya. Lalu si anak berjuang membela ayahnya. Justeru sebelum dua hari lalu dia tergolong anak derhaka. Dengan mendengar caci hamun ini si anak menjadi anak yang baik dan setia. Hal ini cukup jelas dan terang bagi kita. Justeru Allah memiliki pelbagai hikmah yang luar biasa pada segala yang berlaku. Mungkin ada yang bertanya, Bagaimana Allah ciptakan syaitan, justeru syaitan ini tidak bergiat tanpa seizin Allah?

Maka Allah menjelaskan kedudukan ini,

﴿تَاللَّهِ لَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمْ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَهُوَ وَلِيُّهُمْ الْيَوْمَ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ﴾

Demi Allah, Kami telah mengutus sebelum engkau beberapa rasul kepada umat terdahulu. Lalu syaitan menghias kejahatan bagi umat-umat itu. Justeru pada Hari Pembalasan kelak syaitan itu jugalah pelindung atau wali mereka. Mereka telah menempah azab yang pedih. (QS, al-Nahl: 63).

Terkadang manusia dikekang oleh syahwatnya sendiri, lantas syahwat ini menjadi penghijab antara manusia dan Allah. Hijab ini pula tebal. Maka syaitan pun muncul membawa bisikan nan kelihatan indah. Lalu manusia dikendalikan oleh syahwatnya. Tekanan pun semakin kuat dan ketegangan juga sirna. Apa yang berlaku adalah manusia menerima bisikan jahat. Disinilah terjadinya musibah setelah melayani syahwat yang disalurkan manusia lantaran pengaruh jahat syaitan. Lantas setelah itu, manusia mendengar himbauan Allah, al-Maula SWT, lalu manusia kembali menuju jalur istiqamah. Maka syaitan memang ada peranannya juga. Namun manusia menerusi peranan syaitan ini menyebabkan ‘power iman’ naik melonjak. Malah syaitan terkadang membisikkan ‘Setiap  sesuatu ada penciptanya. Siapakah pula yang menciptakan Allah?

Dalam Islam ada satu ketetapan atau aturan ‘Bahawa sesuatu itu berlaku mesti ada hikmahnya. Segala yang terjadi ada hikmahnya tersendiri. Maka manusia yang mendengar bisikan syaitan bermakna mendengar desakan syahwat dirinya. Ia melakukan desakan syahwat. Syaitan sebenarnya tiada kuasa sama sekali. Seperti yang dikatakan terdahulu, Allah memperingatkan:

 وَمَا كَانَ لِي عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِي مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Saya ini tiada kuasa apa-apa ke atas dirimu. Saya hanya cuba mempengaruhi kamu lalu kamu turuti. Kamu jangan mencela saya celalah dirimu sendiri. Saya tidak kuasa membantu kamu, kamu juga tidak kuasa membantu saya. Saya berlepas tangan atas kesyirikan kamu terhadap diriku di dunia. Yang pasti habuan orang zalim adalah azab yang pedih. (QS, Ibrahim: 22).

Justeru manusia yang tidak menghiraukan bisikan syaitan akan meraih kenaikan pada sisi Allah, al-Maula SWT. Ikutilah kisah indah Nabi Yusuf as,

 قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ

Baginda memohon penjagaan Allah, lindungilah diriku ya Allah. Saya sangat menghargai majikanku yang banyak berjasa. Yang pasti ialah si penzalim tidak akan meraih kejayaan. (QS, Yusuf: 23).

Allah al-Maula SWT Maha Agung, lagi Maha Kaya.

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Manusia yang lengah dari zikrullah, dan al-Qur’an, nescaya tersedia baginya syaitan. Syaitan inilah qarin, pendampingnya. (QS, al-Zukhruf: 36).

Jika manusia tidak membersihkan rumah kediamannya dengan baik, memang lalat dan nyamuk akan merebut peluang. Serangga yang dua ini memang menganggu. Jika nyamuk dan lalat ada dalam rumah, bermaksud wahai manusia bergeraklah, bersihkanlah rumahmu dengan baik. Kecuaian anda akan mengakibatkan adanya reaksi. Justeru si insan yang tidak ada koneksi dengan Allah, maka siap-siaplah menanti kehadiran syaitan.

Peringatan Allah, al-Maula SWT,

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Manusia yang lengah dari zikrullah, dan al-Qur’an, nescaya tersedia baginya syaitan. Syaitan inilah qarin, pendampingnya. (QS, al-Zukhruf: 36).

Jadi apa sebenarnya peranan syaitan? Iaitu ketika manusia lengah dari zikrullah. Buta atau rabun lain dari lengah. Lengah adalah lantaran lemahnya padangan hati si hamba.

Anda dapati si Muslim bersolat, dan mendatangi masjid. Namun pandangan ‘ketauhidannya’ sangat lemah. Dia memang percaya bahawa Allah menciptakan alam ini. Adapun segala sesuatu pada sisi Allah, memang diyakininya. Namun sangat lemah pada realiti dan amalannya. Maka rabun ini tidak sampai buta. Allah memperingatkan:

 فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Justeru yang buta itu bukan mata kepalanya, malah mata hatinya yang terdapat dalam dadanya. (QS, al-Hajj: 46).

Maka pada saat si insan terdapat kabus pada pandangannya, atau ada kekaburan ia akan terpengaruh oleh syaitan. Maka peranan syaitan adalah bagaikan lalat. Persis seperti itu. Syaitan akan muncul cuba mengganggu atau melemparkan umpan waswas. Justeru si manusia dituntut sentiasa kembali atau bertaubat kepada Allah. Justeru faktor syaitanlah pendorong si insan sentiasa bertaubat kepada Allah. Malah manusia itu terkadang tidak menyedarinya. Oleh yang demikian Allah memperingatkan:

 قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

Iblis berikrar, disebabkan Engkau telah menjadikan aku ini sesat, nescaya akan kuintai anak adam itu pada setiap laluan yang betul. (QS, al-A’raf: 16).

Boleh jadi si insan dilanda kebingungan atau lari menjauh lantaran bergelumang dosa dan kemaksiatan. Maka ketika dia bertaubat, syaitan akan cuba mendekatinya seraya melontarkan umpan waswas.

Allah memberi peringatan:

﴿ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَٰنِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَٰكِرِينَ﴾

Kemudian saya akan mempengaruhi anak Adam dari hadapan, dari belakang, dari kanan dan kiri mereka. Lantas, Engkau akan dapati kebanyakan mereka tidak bersyukur. (QS, al-A’raf: 17).

Dari hadapan, bermaksud dengan menggunakan sarana moden, kecanggihan era globalisasi, dan pelbagai peluang yang ada.

Dari arah belakang juga termasuk adat lama pusaka usang, dan kebudayaan Biar mati anak jangan mati adat.’

Dari arah kanan, melalui ketaatan. Syaitan muncul mengganggu: kamu memang sudah membaca al-Fatihah, namun kamu tidak menjaga syaddah pada tempat-tempat syaddah. Justeru solat itu masih cacat. Dalam al-Fatihah sahaja terdapat 17 tempat syaddah. Syaitan menjadikan anak Adam putus asa. Demikian juga dari arah kiri.

Dari arah kiri, ialah segala jenis kemaksiatan dan sarana dosa, serta  pelbagai faktor kelalaian, zina, ikhtilat atau perbauran tanpa had, sukan, renang, dan sebagainya.

وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَٰكِرِينَ

Malah akhirnya kebanyakan manusia tidak bersyukur. (QS, al-A’raf: 17).

Selama ini dia meraih keuntungan sebanyak lima juta. Sekarang keuntungannya hanya empat juta. Lalu ia merungut lantaran ditimpa kemiskinan. Demikianlah insan yang tidak bersykur, ia akan terus mengeluh.

Ada yang menjumpai saya membawa keluhan. Katanya:

Saya ada kebun, semuanya kebun apple. Saya dililit kerugian dari kebun ini.

Lalu saya bertanya:

Adakah kamu mampu menyuci buah pinggang, mengubah fungsi jantung?

Jawabannya, Tidak.

Maka saya katakan, Kamu perlu memuji Allah! Organ-organ ini memerlukan jutaan biaya untuk merawatnya.

Manusia yang dikurnia kesihatan yang baik perlu bersyukur kepada Allah. Allah, al-Maula SWT memperingatkan:

 وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

Malah kebanyakan manusia tidak pandai bersyukur (QS, al-A’raf: 17).

Dia memiliki segala-galanya, namun masih mengeluh kemiskinan. Mereka yang risau akan kemiskinan, adalah dilanda kemiskinan. Manusia yang risau ditimpa penyakit adalah dilanda penyakit. Justeru insan yang bimbang ditimpa musibah, adalah satu musibah jauh lebih besar.

 وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Mereka yang lengah dan alpa dari zikrullah, Kami sediakan untuknya syaitan, maka syaitanlah qarin, pendampingnya. (QS, al-Zukhruf: 36).

Satu contoh, kutu gandum. Termasuk hikmah kejadian makhluk Allah yang luar biasa, sarat hikmah. Jika bukan lantaran serangga ini, boleh jadi manusia ada yang bermaksud menyimpan gandum untuk tempoh dua tahun. Kemudian pada saat genting mereka akan menjual gandum dengan harga yang tinggi. Dengan cara ini mungkin ramai manusia yang akan mati kelaparan.

Saat manusia lupa dan alpa tak ingat Allah, nescaya syaitan siap untuk mempengaruhinya.

Ada yang pernah menanya saya:

Adakah madu lebah perlu dizakati?

Jawab saya, ‘Ya, mesti dikeluarkan zakatnya.’

Si penanya bertanya lagi, ‘Jika zakat madu tidak dikeluarkan?

Tegas Syeikh Nablusi ‘Madu akan dimusnahkan ‘serangga madu.’

Serangga ini akan membinasakan madu tersebut. Serangga ini siap melakukan tugas. Maka jika anda mengeluarkan zakat, ahlan wa sahlan, tiada masalah. Jika anda degil, serangga akan menjalankan tugas.

Allah, al-Maula SWT seterusnya memperingatkan:

وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ

Para qarin itu akan memesongkan manusia yang lalai dan alpa dari jalan yang betul, justeru mereka sendiri menduga dirinya betul. (QS, al-Zukhruf: 37).

Gangguan waswas syaitan memang menuju kemaksiatan, dan menuju keduniaan. Anda masih mendapati masih ada manusia yang berfikir sangat terlalu jauh. Justeru ajalnya mungkin sudah hampir tiba, kain kafannya sudah pun siap. Malah dia sendiri belum menyedari. Dapatkah anda melihat betapa panjangnya angan-angan insan sebegini?

Allah, al-Maula SWT memperingatkan:

 الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ (67)

Hari Kiamat kelak, para kekasih semasa di dunia akan saling bermusuhan, terkecuali para ahli taqwa. (QS, al-Zukhruf: 67).

Oleh demikian, kamu hanya perlu mendekati dan bersahabat dengan si Mukmin yang perihal atau keadaannya memberi anda motivasi, dan tutur katanya mendekatkan anda kepada Allah. Justeru Rasulullah juga pernah berpesan,

لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ

Kamu hanya perlu mendekati atau berteman dengan si Mukmin, dan juga makananmu hanya perlu dimakan oleh ahli taqwa. (HR Ahmad, Abu Daud, dan Tirimizi).

Referensi:

https://nabulsi.com/web/article/4225/%D8%A7%D9%84%D8%AF%D8%B1%D8%B3-0510-%D8%AA%D9%81%D8%B3%D9%8A%D8%B1-%D8%A7%D9%84%D8%A2%D9%8A%D8%A7%D8%AA-36-39

(Manhajuna/IAN)

(Visited 179 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Sukses Umroh Doanya Terkabul 100%

Kajian Kisah Sholihin MASIH terasa segar kisah fakta yang terjadi lebih dua dasawarsa berlalu, persisnya …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *