Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Kajian / Aqidah & Pemikiran / Tafsir Asmaul Husna: AL-SOMAD / الصـمــد
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Tafsir Asmaul Husna: AL-SOMAD / الصـمــد

Oleh: Murabbi Prof. Dr. Muhammad Ratib Nablusi (حفظه الله تعالى)

Alihbahasa: Dr. Ahmad Asri Lubis

بسم الله الرحمن الرحيم   الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد الصادق الوعد الأمين اللهم أخرجنا من ظلمات الجهل والوهم إلى أنوار المعرفة والعلم، ومن وحول الشهوات إلى جنات القربات.

Saudara, kita cuba menyorot salah satu Asma Husna, iaitu (الصمد) al-Somad. Nama atau isim (الصمد) ini terdapat dalam Kitabullah bersama isim (الأحد) dalam Surah Ikhlas sahaja.

 قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، اللَّهُ الصَّمَدُ

Katakanlah, Allah adalah Esa; Allah tempat meminta segala hajat.

Isim (الصمد) ini juga terdapat dalam beberapa tempat dalam Hadis Sahih, contohnya

أنا الأحَدُ الصَّمَدُ الذي لم يَلِدْ ولم يُولَدْ، ولم يكن له كُفُوا (البخاري عن أبي هريرة)

Saya lah Tuhan Yang Maha Esa, Tumpuan Hajat Makhluk. Tak beranak dan juga tak diperanakkan. Tiada sesuatu menyerupai Allah.

Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) pernah bersabda:

« أَيَعْجِزُ أحدُكُم أَن يقرأ ثُلث القرآن في ليلة ؟ فشقَّ ذلك عليهم، وقالوا: أَيُّنا يُطيق ذلك يا رسولَ الله ؟ فقال: الله أحد، الله الصمد ثلثُ القرآن».

Tak sanggup kah kamu membaca sepertiga Quran malam hari? Para sahabat merasa agak berat melakukannya. Mereka bertanya: Ya Rasulullah, manalah kami sanggup! Baginda menjelaskan: Surah al-Ikhlas (الله أحد، الله الصمد) dikira sepertiga Quran. (HR Bukhari, dari Abi Said al-Khudri).

Pernah Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) menemui para sahabat, seraya berkata: ‘Mahukah kubacakan kepadamu sepertiga Quran? Lalu baginda membaca (قُلْ هُوَ الله أَحَد، الله الصمَدُ) hingga tamat. (HR Muslim, dari Abi Hurairah).

Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) saat bersolat witir membaca: (سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى), (قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ), dan (قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ). (HR Abu Daud, dari Ubai bin Ka’ab).

Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) pernah terdengar seorang lelaki membaca (قل هو الله أحد). Lantas baginda berujar:

«وجبت، قلت: وما وجبت؟ قال :الجنة»

 ‘Wajib lah.’ Abu Hurairah bertanya ‘Apa yang wajib?’ Jelas baginda : ‘Wajiblah syurga menjadi miliknya.’ (HR Malik, Tirmizi, Nasi. Hadis soheh, daripada Abu Hurairah).

Demikianlah beberapa Hadis sahih. Dalam al-Quran hanya dalam Surah Ikhlas sahaja yang terdapat nama (الصمد).

  • Sorotan bahasa

Dalam segi bahasa perkataan al-somad (الصمد) adalah termasuk kata sifat (صفة مشبهة) bagi yang bersifat samadaniyah. Perkataan ini berasal dari kata kerja (صَمَدَ يَصْمُدُ، صَمَدًا). Pada asalnya, kata kerja ini mengandungi beberapa makna atau maksud.

Ada yang bermaksud ‘Tuan yang ditaati.’ (السيد المطاع). Tuan yang ditaati, arahannya mesti dilaksanakan. Dalam bahasa yang mudah masa kini ‘Pada setiap komuniti terdapat pemimpin yang kuat pengaruhnya segala arahannya mesti dilakukan.’ Inilah maksud (الصمد) dalam segi bahasa.

Ada juga yang melihat (الصمد) bermaksud ‘Yang memberi makan, namun tidak perlu diberi makan.’

(الصمد) juga maksudnya ‘Tuan atau ketua pemilik tampuk kekuasaan dalam segala sesuatu. Segala jenis keagungan adalah miliknya. Malah memiliki samadaniyah secara mutlak.’

Perkataan (الصمد) juga mengandungi maksud ‘Tuhan yang kekal abadi setelah semua makhluk lenyap binasa.’

Pendapat lain mengatakan (الصمد) ialah ‘Tuhan tempat tumpuan segala perkara. Hanya kepada-Nya ditetapkan segala urusan. Suatu urusan hanya Dialah yang menentu dan menetapkannya. Dia Pemiliki tampuk kekuasaan.’

Ada juga yang mengatakan (الصمد) bermaksud ‘Tempat bergantung segala sesuatu. Dialah yang menciptakan segala-galanya. Semua makhluk ciptaan bergantung kepada-Nya.’

Semua pengertian terdahulu mengenai perkataan (الصمد) hanya berkisar tentang ‘Peri kesaan Allah, Jalla Jalaluhu.’

Aneka pendapat mengenai (الصمد)

Semasa membuat ulasan mengenai (الصمد) Imam Bukhari (رحمه الله) dalam karya beliau dalam Bab Somad, menulis: Bangsa Arab menamakan pemimpin mereka sebagai (الصمد), bermaksud ketua yang merupakan tampuk keagungan.

Seorang ulama berujar: ‘Memang terdapat banyak pendapat mengenai nama (الصمد). Sehingga barangkali ada yang menduga pengertian yang banyak ini saling berbeza. Sebenarnya bukan, malah semuanya betul. Antara  aneka pendapat ini yang masyhurnya ada dua.’

Pertama, (الصمد) ialah yang tidak memiliki rongga. Yakni berisi padu atau penuh semuanya tidak memiliki kekosongan. Saat anda cuba memukul gendang akan terdengar suara. Namun jika anda memukul batu, tentulah tak bersuara. Lantaran batu objek yang padat tidak memiliki rongga atau lubang yang kosong. Di dalamnya tidak ada ‘kekosongan’ malah berisi padat dan penuh. Maka (الصمد) ialah yang tidak memiliki rongga kosong.

Kedua, (الصمد) bermaksud Tuhan tempat tumpuan dalam menunaikan segala hajat keperluan. Yakni yang akan dituju dalam memenuhi sebarang hajat keperluan.

Sementara Imam Ibnu Jauzi (رحمه الله) berkata: Perkataan (الصمد) mengandungi empat pengertian:

  • Pihak yang akan dituju dalam semua hajat keperluan.
  • Yang tidak memiliki rongga.
  • Yang kekal abadi.
  • Yang kekal setelah semua makhluk musnah binasa.

Pendapat yang paling tepat adalah yang pertama, kerana memang inilah yang sesuai dengan maksud kata asal terbitan perkataan ini.

Saudara, asal makna perkataan (الصمد) adalah (القصد) ertinya ‘maksud tujuan.’ Contohnya anda sendiri saat anda kesusahan siapakah yang akan anda tuju atau akan anda datangi? Yang Maha Kuat, siapakah? Yang Maha Kaya, siapakah? Segala sesuatu berada dalam kekuasaan dan miliknya, siapakah? Yang Maha Kuasa, siapakah Yang Maha Kuat? Makna perkataan: kuat, kaya, kuasa, esa, tiada sesuatu menyerupainya, tiada sekutu baginya, secara keseluruhannya makna perkataan ini terdapat dalam perkataan (الصمد).

Hakikat ini bermakna, bahawa si ‘Mukmin sentiasa bersama: Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal, tiada duanya (الصمد). Si Mukmin sentiasa bersama Yang Maha Gagah perkasa, Si Mukmin sentiasa bersama Yang Maha Kaya.’

Jika sekiranya Allah memang bersama anda, siapakah yang berupaya menyakiti anda? Namun, jika anda disisihkan dan dibiarkan Allah, siapakah yang berupaya membela anda?

Ya Allah ya Rabbi, ternyata Si hamba yang kehilangn-Mu kehilangan segala-galanya. Dan  si hiamba yang mendapati-Mu mendapati-Mu memiliki segala-galanya,

«ماذا فقد من وجدك، وماذا وجد من فقدك؟»

Keagungan mukmin yang saat giat

mendekati Allah, al-Mawla (سبحانه وتعالى)

Saudara yang dimuliakan, ulama feqah mengatakan, malah kita sangat perlu kepada gagasan mereka ini sekarang. ‘Tidak sah menerima zakat anak yang masih kecil, atau anak si kaya, atau masih dibawah usia.’ Meskipun anak ini tidak memiliki sebarang harta. Hanya, lantaran dia ini anak si kaya, dia tidak boleh menerima harta zakat. Mengapa demikian? Sebabnya, lantaran anak ini anak si kaya. Dia dianggap kaya sebab ayahnya sendiri kaya. Dia terbilang kaya sebab ayahya kaya.

Nah, cubalah terapkan ini terahadap kehidupan si mukmin. Si Mukmin, kuat dengan kekuatan Allah. Si Mukmin kaya dengan kekayaan Allah. Si Mukmin gagah perkasa dengn keperkasaan Allah. Anda sendiri, saat anda memohon perlindungan Allah, anda mendekati Allah, bertawakkal kepada Allah, bergiat menghampiri-Nya, pasti anda sendiri menjadi kuat, kaya, alim, arif bijaksana, dan lain-lain. Disinilah sebenarnya rahsia keagungan ‘Mukmin.’

Saudara, sebenarnya Mukmin adalah satu perkataan yang sangat agung. Maksudnya, dalam istilah perkataan yang digunakan manusia, jika anda katakan Doktor kepada seseorang, ungkapan yang dimaksudkan ini manusia yang pandai membaca, menulis, mempunyai sijil akademik SPM, BA, Diploma, Master, Ph. D. Banyak karya dan buah penanya, lebat penulisan dan sumbangan ilmiahnya. Dia sendiri menimba pengalaman di pelbagai IPT, malah ramai ahli akademik yang didekatinya. Hanya dengan ungkapan anda Doktor, segala apa yang disebut ini memang identiklah dengan insan yang dimaksudkan.

Nah sekarang jika anda menuturkan perkataan Mukmin, perkataan ini sebenarnya menunjukkan satu status atau martabat akhlak yang agung, martabat keilmuan yang tinggi, martabat keindahan yang tinggi. Kelebihan si Mukmin adalah lantaran ia manusia yang memiliki makrifah mengenai hakikat yang agung. Memiliki ma’rifah tentang Allah (معرفة الله). Kelebihan Mukmin adalah insan berakhlak agung (أخلاقي). Kelebihan Mukmin adalah manusia yang memiliki pelbagai cita rasa indah menarik. Lantas perkataan Mukmin ini menunjukkan satu status kedudukan yang sungguh besar dan agung.

Rumusan makna (الصمد)

Saudara, kita masih bersama salah satu nama Allah (الصمد). Intisari makna perkataan (الصمد) ialah Pemilik Kesempurnaan Mutlak.

Sekali lagi perlu dijelaskan, bahawa kesempurnaan manusia sangat relatif. Contohnya, seorang hakim atau penguasa yang dikatakan dia seorang yang adil. Nah, kebanyakan keputusan hukum yang dikeluarkannya memang ‘betul adil.’ Hukum ini relatif, mungkin antara 1000 keputusan hukum yang ditetapkannya, terdapat empat kes yang tidak betul. Hal ini bukan lantaran sangkaan buruk terhadapnya. Bukan pula lantaran dia salah dalam membuat keputusan. Namun, mungkin ada maklumat dan informasi yang belum diterimanya. Lantas terjadilah keputusan hukum yang tidak tepat. Justeru kita masih mengatakan dia seorang yang adil bijaksana.

Adapun jika kita katakan Allah Maha Adil, jika keadilan dinisbahkan kepada Allah, ini adalah keadilan yang mutlak. Hal ini bermaksud sangat mustahil, malah beribu-ribu kali mustahil terjadi kezaliman dalam alam cipataan Allah, sejak dari Adam hingga hari kiamat, mustahil Allah menzalimi.

﴿لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ﴾

Tiada kezaliman pada hari ini (QS, Ghafir: 17).

﴿وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلاً﴾

Sedikitpun mereka tidak pernah dizalimi (QS, al-Nisa’: 49,77).

﴿وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ﴾

Bukan lah Allah menzalimi mereka (QS, al-‘Ankabut: 40).

﴿وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ﴾

Jika kebaikan dan kejahatan itu seberat biji sawi pun nescaya kelak akan Kami kemukakan. Cukuplah Kami yang menghisabnya nanti. (QS, al-Anbiya’: 47).

Jadi, (الصمد) bermaksud Tuhan yang memiliki sifat Kesempurnaan Mutlak dalam segala hal. Tuhan yang tak memiliki hajat keperluan kepada suatu apa jua pun. Malah makhluk selain Allah lah yang tetap memerlukan Allah. Hal ini dalam segala sesuatu kecil dan besar. Makhluk memerlukan Allah, tempat berlindung, tempat bergantung. Allah Maha kamal atau sempurna pada segala sifat dan af’al-Nya. Allah tiada sebarang kekurangan sama sekali. Tiada yang bersifat (الصمد) selain Allah.

Malah Allah lah yang menjadi sasaran dan tumpuan manusa dalam segala hajat keperluan, dan dalam segala urusan. Segala urusan tertumpu kepada Allah. Kelangsungan atau kelestarian segala sesuatu adalah dalam kekuasaan Allah. Tiada yang menetapkan suatu ketetapan selain Allah. Allah lah yang dituju dalam mencari segala keinginan. Tempat berlindung dalam segala bencana dan musibah. Allah memberi makan, tidak perlu diberi makan. Tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Menagih kasih sayang Allah

Tuhan yang Agung sebegini, tidakkah patut di tagih kasih sayang-Nya? Tidakkah didambakan syurga milik-Nya? Tidakkah dititakuti azab neraka yang dijanjikan-Nya? Adakah patut Tuhan yang Agung ini dilanggar aturannya? Anda jangan melihat peri kecilnya suatu dosa. Malah lihatlah peraturan dosa siapa yang anda langgar? Inilah beberapa pengertian yang terkadung dan dapat dirumuskan dalam perkataan nama Allah (الصمد).

Adakah Allah Mencintai  Anda?

Satu hakikat yang sangat unik dan indah menarik berkenaan dengan keperibadian si Mukmin. Pada hakikatnya, jika Allah, al-Mawla (سبحانه وتعالى) mencintai anda, Allah jadikan anda tempat manusia menggantungkan harapan mereka. Kamu jangan cemas dan sesak saat didatangi orang yang berhajat. Jangan sesak jika pintu rumahmu diketuk oleh ramai manusia. Jangan sesak jika ramai manusia sekelilingmu menggantungkan harapan kepadamu. Jika Allah mencintai seseorang, Allah jadikan dia tempat menunaikan hajat keperluan umat. Demikianlah tanda anda dicintai Allah.

Wahai hamba-Ku, Aku lah yang menjadikan kebaikan dan kejahatan. Bahagialah manusia yang Kutaqdirkan kebaikan berkat usaha tangannya. Celakalah manusia yang Kutaqdirkan kejahatan dengan usaha tangannya (HR Tabarani, dari Abdullah bin Abas).

Jika anda ingin mengetahui status atau kedudukan anda, maka cubalah amat-amati untuk apa anda diciptakan Allah? Apakah peranan anda dalam kehidupan ini, apa fungsi anda dalam kehidupan umat? Adakah anda tergolong mereka yang menyinari kehidupan umat dengan menyebarkan kebenaran? Ataukah anda penyebar kesesatan? Adakah anda tergolong mereka yang menyemai benih kebenaran dalam hati umat yang ketandusan? Ataukah anda penyebar rasa ketakutan? Adakah anda mengambil keuntungan yang bukan hak anda dari masyarakat? Ataukah anda mengambil dari mereka sesuatu yang bukan milik anda?

Saudara, setiap orang di dunia ini perlu melakukan ‘hisab’ atau muhasabah diri agar nanti di akhirat anda akan dihisab dengan mudah dan senang. Siapa yang bermuhasabah diri di dunia ini dengan bermudah-mudah, pasti kelak pada Hari Kiamat ia menghadapi hisab yang susah. Sebaliknya, Mukmin yang bermuhasabah diri di dunia ini dengan cara yang susah dan teliti, nescaya pada Hari Kiamat ia akan menjalani hisab dengan senang.

﴿فَوَرَبِّكَ لَنَسْأَلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ﴾

Demi Allah, Kami pasti akan menanya mereka semuanya kelak mengenai apa yang pernah mereka lakukan (QS, al-Hijr 92-93).

Hanya insan yang bodoh menduga

tiada hari berhisab dan azab sesudah mati

Disini ada pertanyaan. Yang bertanya adalah Sang Pencipta manusia dan Pencipta alam semesta:

﴿أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَنْ يُتْرَكَ سُدًى * أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِنْ مَنِيٍّ يُمْنَى *

ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّى * فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنْثَى﴾

Adakah manusia menduga dia akan dibiarkan sedemikian rupa tanpa ditanya? Bukankah asal kejadiannya dari sperma yang terpancut? Kemudian menjadi darah. Lantas sesudahnya menjadi makhluk yang kemas sempurna? Lalu mereka dijadikan berpasangan, lelaki dan perempuan (QS, al-Qiyamah: 36-39).

Hal ini bermaksud, bahawa manusia boleh jadi menduga kelak tidak terdapat hisab, azab juga tidak. Ini adalah satu kebodohan yang luar biasa. Satu kesia-siaan yang aneh.

﴿أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَنْ يُتْرَكَ سُدًى﴾

Patutkah manusia menduga dia dibiarkan sedemikan rupa, tidak disoal siasat sama sekali?

﴿ أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴾

Patutkah kamu menduga kamu Kami ciptakan tanpa matlamat? Malah kamu tidak bakal kembali kepada Kami? (QS, al-Mukminun: 115).

Tiga Kategori Iman

  • Iman hissi

Ulama sependapat mengatakan bahawa terdapat beberapa kategori iman. Ada iman yang konkrit dan jelas disaksikan oleh panca indera. Seperti anda melihat ada cahaya lampu hidup menyala. Ini namanya iman hissi, disaksikan mata sendiri.

Anda melihat cahaya tersebut bernyala dengan mata sendiri. Anda mendengar suara dengan telinga sendiri. Anda memegang meja dengan tangan sendiri. Ini namanya iman hissi (الإيمان الحسي), jelas dan terang diraba dengan panca indera. Ini satu pusingan cara berfikir. Hissi bermaksud indera.

  • Iman akli

Namun, disamping itu terdapat pula iman akli (الإيمان العقلي). Anda percaya dengan yakin dalam masjid ini ada listrik. Anda sendiri tidak melihat listrik tersebut. Anda hanya melihat kesan listrik. Contohnya anda menyaksikan sendiri ada bunyi pembesar suara yang menggunakan tenaga listrik. Anda hanya menyaksikan kesan elektrik iaitu lampu yang bersinar menerangi. Atau anda lihat kipas bergerak. Justeru anda sendiri tidak nampak ada listrik. Tapi anda melihat kesan dan hasilnya. Demikianlah beberapa jenis kesan elektrik. Maka kepercayaan mengenai ada listrik dalam masjid adalah iman akli, bukan iman hissi.

Iman hissi melalui sarana panca indera. Iman akli melalui sarana akal. Iman hissi sesuatu yang nyata zat dan kesannya. Iman hissi melalui panca indera. Sementara iman akli sesuatu yang tidak dapat dilihat. Hanya yang jelas adalah kesan dan pengaruhnya. Seperti cahaya lampu, gerakan kipas, dan bunyi ‘pembesar suara.’

Contoh lain, disini terdapat almari. Walaupun anda orang yang terkenal pintar, cemerlang, atau genius, pasti anda tidak mampu mengetahui apa dalam almari ini. Kecuali ada manusia yang jujur dipercaya berujar: dalam almari ini ada alat pembesar suara.

  • Iman ikhbari

Lantas iman jenis ketiga adalah iman ikhbari (الإيمان الإخباري). Jadi ada iman hissi melalui panca indera. Ada iman akli menggunakan akal. Dan ada iman ikhbari. Iman hissi sesuatu yang jelas dilihat zatnya malah kesannya juga. Seperti panca indera, penyaksian panca indera, seperti mikroskop, dan teleskop.

Iman akli, adalah suatu yang ghaib atau tidak terlihat zat dan hakikatnya. Namun kesanya memang jelas ada. Maka beriman kepada Allah, al-Maula (سبحانه وتعالى), alam yang terbentang luas ini bertutur tentang kewujudan Allah, keesaan Allah. Segala sesuatu dalam alam yang luas ini adalah bukti tanda menunjukkan ada Allah. Maka beriman kepada Allah adalah iman akli.

Maka beriman kepada Hari Akhirat, Malaikat, Jin, termasuk iman ikhbari. Malaikat  tidak terlihat zatnya dan kesannya juga. Jin juga sedemikian. Maka sesuatu yang tidak terlihat atau ghaib zat dan kesannya, ini termasuk perkara ghaib atau alam ghaib. Mengimaninya mestilah dengan dalil atau bukti ikhbari, Quran dan Hadis. Allah, Pencipta nan Agung mengatakan bahwa setelah mati kelak ada syurga atau neraka. Allah juga mengatakan ada malaikat yang bertasbih memuji Allah. Terdapat juga jin, dan makhluk-makhluk lain. Hal ini semuanya tergolong iman ikhbari.

  • Pendapat Ibnu Qayyim

Dalam pada itu, salah seorang ulama kenamaan, Imam Ibnu Qayyim (رحمه الله) melihat bahawa percaya kepada Hari Akhirat termasuk iman akli. Kerana akal yang jernih berkata, tidak mungkin dan tidak masuk akal bahwa alam yang demikian hebat ini. Kekuatan yang luar biasa yang menjadikan dan mentadbir alam ini. Hikmah yang luar biasa yang terdapat dalam alam ini. Penciptaan dan kejadian nan sungguh indah. Malah dengan kepelbagaian makhluk yang mendiami alam. Ciptaan alam yang kemas dan sempurna menakjubkan. Adakah mungkin wujud kezaliman sedemikian rupa tanpa ada balasan. Terdapat si kaya, si miskin. Si kuat si lemah. Si sakit dan yang sihat. Ada yang cantik jelita, ada juga yang jelek terhina. Imam Ibnu Qayyim melihat beriman dengan hari kemudian termasuk iman akli. Malah beliau hanya bersendirian dalam pandapat ini.

Hal ini selain apa yang dikatakan terdahulu bahawa iman kepada Hari Kemudian termasuk iman ikhbari. Iman ini boleh dilihat sebagai iman akli, kerana akal yang jernih tidak membenarkan bahawa kehidupan ini berakhir sedemikian rupa, justeru terdapat insan yang zalim, yang kaya raya, yang sihat, yang miskin papa. Terdapat juga negara kuasa besar yang sangat zalim. Ada pula negara yang meringkuk dalam penderitaan lantaran kekuasaan dan pengaruh negara zalim yang tidak memahami hakikat kehidupan kecuali nanti bila sudah berada pada hari pembalasan.

  • Pertimbangan akal

Saya bernasihat, wahai saudara yang mulia. Anda jangan membuat perbandingan antara dua contoh manusia. Atau dua contoh pekerjaan. Atau antara dua kumpulan. Antara dua kegiatan, kecuali jika anda harus juga melihat kesudahannya kelak di Hari Akhirat, di samping keadaannya di dunia ini. Beginilah anda melakukan perbandingan. Jangan bandingkan antara dua komuniti, antara dua institusi, malah antara dua bisnis atau perniagaan.

Dewasa ini perniagaan yang paling besar menarik keuntungan adalah dadah. Dadah ini sejak dari tempat tumbuhan ini ditanam hingga sampai ke tempat dadah dijual, untungnya beribu kali lipat ganda. Bisnis lain mungkin untungnya 10% atau 15% atau 20%. Dadah malah beribu kali lipat ganda.

Demikianlah, menurut Imam Ibnu Qayyim (رحمه الله) percaya kepada Hari Akhirat adalah iman akli, kerana Allah (سبحانه وتعالى) memiliki Kamal Mutlak (الكمال المطلق), Allah tak mungkin membiarkan hambanya tanpa ada hisab, tanpa muhasabah, tanpa tanggung jawab. Si hamba hendaklah beriman hanya semata-mata beriktikad bahawa Allah mengetahui, akan menghisab, dan akan membalas, nescaya si hamba akan istiqamah melaksanakan perintah Allah. Iman ini perlu agar si hamba istiqamah, agar si hamba kelak pada hari kiamat berbangkit bersih, suci dan mustaqim.

  • Menentukan hari esok anda

Terdapat pelajaran atau ilmu tentang perihal pada hari pembalasan. Percayalah, saudara yang dicintai bahawa mengetahui asmaul husna dengan mengaitkannya dengan perihal pada hari pembalasan. Yakni agar asma ini mengendalikan gerak geri anda dalam meniti kehidupan. Adanya Tuhan yang Maha Agung yang akan meneliti dan menghisab segala gerak geri anda.

Pernah seorang penduduk pedalaman Arab mendatangi Rasulullah (صلى الله عليه وسلم), seraya merayu: Wahai Rasulullah, berilah saya nasihat tapi jangan panjang, pendek dan padat. Lantas baginda membaca firman Allah, (سبحانه وتعالى):

﴿فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ، وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ﴾

Siapa melakukan kebaikan seberat atom, ia akan menyaksikannya. Dan sesiapa melakukan kejahatan seberat atom ia akan menyaksikannya juga (QS, al-Zalzalah: 7-8).

Lantas si penanya berujar: ‘Cukuplah.’

Justeru Quran mengandungi 600 halaman. Terdapat berjuta-juta kitab karya ulama, berjuta-juta syarahan, pidato, muktamar, seminar, bulletin, dan lain-lain. Rasulullah hanya membaca ayat pendek sahaja, lantas si penanya berkata ‘Cukuplah.’ Lalu baginda berujar: ‘Si lelaki ini sudah dikurniai kefahaman.’ Maksudnya, dia sudah memiliki kefahaman. Hanya dari ayat pendek sahaja (أي صار فقيهاً، فَقُه غير فَقِه، فَقِه باللغة يعني عرف الحكم، أما فَقُه أصبح فقيهاً، من آية واحدة.).

Saudara, saat kita mengimani bahawa Allah mengetahui, menghisab, malah menyiksa kelak, sepatutnya si hamba tidak mungkin melakukan kemaksiatan lagi.

Contohnya, anda sebagai insan yang bekerja di Kementerian Kewangan. Anda pengimport barangan. Jika anda menyembunyikan satu transaksi yang anda import. Anda tidak memaklumkannya ke Kementerian. Kementerian memiliki segala sarana mengenai barang-barang import–eksport anda. Jika anda berani melakukan perkara terlarang ini, bermakna anda menempah kesengsaraan diri. Anda sendiri akan menanggung resiko pahit tiada tara. Kenapa anda lakukan hal ini. Justeru segala transaksi import–ekspor diketahui oleh ‘manusia’ yang mengetahui secara terperinci tentang perihal anda. Hal ini anda bersama insan biasa. Mereka tahu mengenai perihal anda. Keupayaan dan kapasitinya mengekang anda. Anda tidak mungkin melakukan pelanggaran hukum bersama insan. Yakni insan sebegini memiliki keupayaan melakukan sesuatu ke atas diri anda. Jika anda meyakini bahawa Allah mengetahui, akan menghisab, dan akan menyiksa anda, sepatutnya anda istiqamah dalam bertaat setia. Oleh yang demikian, mengetahui Asmaul Husna, maksudnya agar si hamba istiqamah mematuhi peraturan Allah. Agar pada Hari Kiamat kelak anda suci, murni, layak meraih syurga. Alhamdulillah!

Bahan asal: Risalah Surau al-Ehsan, 31.08.2016

Ahmad Asri Lubis

http://www.nabulsi.com/blue/ar/print.php?art=2414

KUPUSB, Bandar seri Begawan,

22 Ramadhan 1442/ 05 Mei21

Dr. Hj. Ahmad Asri Lubis

 

 

(Visited 1.015 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Khutbah Jumat di Masjidil Haram

Oleh: Ustadz Ahmad Musyaddad Bagi segenap kaum muslimin yang berada di Masjidil Haram dan ingin …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *