Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Kajian / Menuju Ramadhan Berkualitas dan Cemerlang: Mengelola Waktu Dengan Baik
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Menuju Ramadhan Berkualitas dan Cemerlang: Mengelola Waktu Dengan Baik

Oleh : Dr. Ahmad Asri Lubis, MA

Masa adalah kehidupan anda. Masa juga adalah modal anda dalam menjalankan “perniagaan” dengan Allah swt (kehidupan keagamaan diibaratkan laksana perniagaan). Dengan perantaraan “masa” anda dapat mencari kebahagiaan. Setiap masa yang berlalu tanpa diisi dengan amal saleh, hamba akan kehilangan kebahagiaan sesuai menurut ukurannya. Oleh itu generasi salaf ra sekali-kali tidak mahu mengabaikan masa sedikit juga pun. Pernah orang berkata kepada ‘Amir bin Qais “Berhenti dulu, aku ingin bercakap dengan anda”. Beliau lalu menjawab “Seandainya saya sudah dapat tahu awal, saya ingin bicara dengan anda”. Lelaki yang bertanya itu pun berkata “Apa yang anda ingin tahu awal tersebut ?”. Jelas ‘Amir “Saya dapat tahu awal mengenai akhir ajalku”.    Memang benar apa yang dikatakan ‘Amir ini. Kerana “masa” tidak semestinya tetap memihak kepada kita buat selama-lamanya. Ia adakalanya jadi teman setia yang mengasihi anda, mendatangkan kemanfaatan dan kegembiraan buat anda. Ia terkadang jadi musuh yang kejam pencipta kesedihan dan kemudratan ke atas anda. Anda sebenarnya adalah himpunan hari-hari yang telah ditetapkan. Jika berlalu satu hari sebahagiaan daripada anda turut pergi.

Sesungguhnya kita berasa gembira dengan hari-hari yang kita tempuh,

padahal setiap hari yang berlalu mendekatkan anda kepada ajal.

Ibnul Jauzi berkata “Sepatutnya manusia menyedari kemuliaan dan nilai masa yang dimilikinya. Ia jangan sekali-kali membuang masa walau sesaat jua pun dalam perkara yang bukan mendekatkan diri kepada Allah”.

Ali bin Abi Thalib berkata “Sisa usia seseorang adalah hartanya yang mahal. Dengannya ia dapat mengejar ketinggalannya; dan dengannya juga ia dapat memperbaiki apa yang dirosak-rosakkannya selama ini”.

*  *

Penyair bermadah,

Jika modal anda adalah usia, maka jagalah ia dengan baik,

Anda jangan mempergunakannya kepada yang tidak perlu.

Hasan Basri berkata “Saya telah mendapat pengajaran dari beberapa perkataan yang pernah saya dengar daripada Al-Hajjaj. Saya pernah mendengar beliau berkata “Jika hilang satu saat dari usia seorang hamba  dalam perkara yang tidak diredhai Allah, ia pasti mengalami penyesalan yang berlarutan pada hari kiamat”.

Ramadhan adalah di antara episod usia yang paling mahal. Di antara faktor yang mendorong hamba agar tidak mengabaikan sekejap mata jua pun dari masanya di bulan Ramadhan ialah bahawa ia hendaklah ingat bahawa Allah menyatakannya sebagai “beberap hari tertentu” (أياما معدودات) . Ungkapan ini menunjukkan bahawa hari-hari yang dimaksudkan hanya sedikit sahaja.  Ia  akan berakhir dengan pantas. Memang beginilah hari yang dianggap mahal dan berkualiti atau musim-musim utama, akan berlalu dengan cepat sekali. Orang yang berjaya meraih keuntungan dalam bulan Ramadhan adalah mereka yang melakukan persediaan untuk merebutnya;  dan mereka  yang betul bersiap siaga menuju bulan suci ini.

Apabila hamba menyedari betapa singkatnya masa pada bulan Ramadhan, ia akan tahu bahawa kepenatan amal ketaatan akan hilang dengan pantas. Akan kekallah baginya pahala dan segala perkara yang berhubung kait dengannya termasuk ketenangan hati, kelapangan dada dan kegembiraan hamba dengan melakukan ketaatan terhadap Allah swt.

Berapa banyak kesusahan dan kepenatan yang dialami hamba semasa berbuat ketaatan, akhirnya keletihannya hilang sedemikian rupa, ganjarannya kekal disisi Allah dengan izin-Nya. Berapa banyak pula masa yang dipergunakan untuk “hiburan” (?) dan permainan, akhirnya keseronokannya hilang lenyap, kesan dan risikonya akan tinggal. Nabi Muhammad saw pernah bersabda “Penghuni syurga tidak mengalami penyesalan kecuali terhadap “masa” yang mereka lalui tanpa mengingat Allah di dalamnya”.

Penyair bermadah,

Ketahuilah, masa berzikir adalah harta kekayaan,

Masa berhibur adalah penyebab muflis dan kemiskinan.

Baca juga: Menuju Ramadhan Berkualitas dan Cemerlang

(Manhajuna/IAN)

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA.

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA. Alumnus S1 (International Islamic Call College, Libya), S2 Universitas Tripoli, dan S3 UPSI, Perak-Malaysia. Saat ini, Da`i asal Sumatera Barat ini berdakwah di Semenanjung Malaysia, Bandar Seri Begawan & Pensyarah (dosen) di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
(Visited 205 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Menuju Ramadhan Berkualitas dan Cemerlang: Mengurangkan Makanan

Oleh : Dr. Ahmad Asri Lubis, MA Mengurangkan makanan adalah di antara matlamat puasa, yakni …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *