Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Hikmah / Allah Mendengar Doanya
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Allah Mendengar Doanya

Ust. Dr. HJ. Ahmad Asri Lubis (والله الموفق).

  • Ruhnya Dicabut Seusai Solat Subuh di Masjid

Pagi Jumaat yang penuh berkat, 04 September 2020, saya bagai mendapat tiupan angin syurga. Setelah solat subuh berjamaah di Masjid Omar Ali Saifuddin (MOAS), Bandar Seri Begawan, seorang jamaah seiman, dari negara jiran mengirim berita Jannah bahawa seorang sahabat soleh meninggal dunia di masjid sebaik sahaja selesai Solat Subuh berjamaah. Ruh Mukmin kesayangan Allah ini kembali ke rahmatullah pada Subuh Rabu 02 September 2020. Kedua teman ini adalah sahabat seperjuangan semasa di Negara Brunei Darussalam. Teman di kala suka dan duka; ke bukit sama mendaki, ke lurah sama menurun.

Si penyampai berita ini kebetulan adalah teman sama-sama kerja di bawah Kementerian Pendidikan, Brunei menjalankan projek Pengetahuan Agama Islam (PAI). Beliau bertugas di SR Sg. Siamas. Sementara saya ditempatkan di SR Datu Ahmad, Kg. Burong Pingei Ayer (1996-2004).

Teman seiman ini menyampaikan berita melalui Whatsaps bahawa salah seorang teman kami yang cukup lama berkhidmat di Sekolah Menengah Arab, menemui ajalnya semasa iktikaf di masjid. Ruh suci beliau menghadap Allah saat beribadat kepada Allah, al-Maula SWT. Malah pada ketika malakat mendoakan kekasih Allah yang beriktikaf.

Saya sendiri kenal dengan sahabat Jannah ini sejak belajar di negeri Arab. Beliau lulusan Bengazi University, Libya. Sementara saya lulusan Tripoli University, Libya. Si penyampai berita duka ini pula adalah lulusan University Baghdad, Iraq.

  • Memiliki sifat ahlu Jannah

Selain kenalan semasa di Libya, semasa di Brunei, saya pernah tinggal bersama Almarhum, Ust. Abdu Rahman bin Abdul Wahhab @ Derame Kabae. Beliau insan pilihan Allah yang sangat peka terhadap panggilan azan. Sangat istiqamah dengan solat berjamaah, khasnya solat Maghrib, Isyak, dan Subuh, di Masjid. Rumah Allah yang terdekat denga kediaman beliau ketika itu adalah MOAS. Beliau Istiqamah melakukan solat rawatib, solat tahajjud, dan solat dhuha. Alhamdulillah! Beliau pencinta Kitabullah. Tangan Almarhum sangat mudah, ringan, dan senang memegang Qur’an. Beliau juga sangat teliti dalam penggunaan masa. Tidak suka membuang masa dalam kesia-siaan. Sebagai tenaga pengajar yang mengajar Bahasa Arab, insan kekasih Allah ini adalah pencinta ulama dan penggemar majlis ilmu. Senang dan serasi duduk bersama ulama dan para solihin. Lidahnya terpelihara dari percakapan yang tidak menentu. Tekun malakukan puasa sunat

Saat berita duka ini saya sampaikan kepada teman seiman yang juga perindu rumah Allah yang sudah pulang ke tanah Jawa, kenalan baik dengan Almarhum, beliau memberi ulasan tentang Alamrhum,

‘Orang nya sangat baik dan ramah tamah.’

Teman ini menambahkan,

Banyak hal hal yang baik-baik saya dapat dari beliau. Beliau ahli masjid, ahli majlis ilmu, selalu dekat dengan orang orang sholeh, sangat terjaga tutur katanya, banyak hikmah dari ucapan beliau. Saya sangat yakin Allah SWT tempatkan beliau di Surga Firdaus. Aamiin ya Rabb!

  • Doa sujud menyentuh hati

Masih segar dalam ingatan saya, pada suatu ketika kami berdiskusi tentang doa sujud. Almarhum sangat terkesan dengan doa sujud khas yang dibaca Rasulullah SAW, mengikut Hadis Riwat Imam Muslim:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ،

لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ؛ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Ya Allah, dengan berkat keredhaan-Mu lindungilah diriku dari kemurkaan-Mu. Dengan berkat keafiatan-Mu lindungilah diriku dari siksaan-Mu. Dengan berkat rahmat-Mu, lindungi diriku dari murka-Mu. Daku tidak mampu meluahkan pujian ke atas-Mu. Engkau sepertimana yang Dikau puji ke atas Zat-Mu sendiri.

Menurut beliau doa sujud khas ini sangat menyentuh hati. Beliau tekun membaca doa ini. Beliau membaca doa ini berulang kali semasa sujud. Saat yang mustajab yang terdekat antara si hamba dengan Khaliq, Allah SWT. Almarhum mengikuti kelas mengenai fadilat doa yang sarat makna ini semasa mengikuti halaqah ilmiah di Rumah Seri Setia, Kg. Serusop, BSB, semasa sesi kelas Kitab Hikam Ibnu ‘Athaillah.

Asbabul wurud atau pangkal cerita kisah doa Nabawi ini, bahawa pada suatu ketika, dalam kegelapan malam, Ummul Mukminin, ‘Aisyah (رضي الله عنها) pernah kecarian Rasulullah, suami tercinta. Setelah mencari dan meraba-raba kesana kemari, ‘Asyah terpegang kaki baginda. Baginda sedang sujud bersolat. Lalu ‘Aisyah terdengar baginda membaca doa khas di atas.

Doa ini termasuk induk doa. Doa jawami’ al-kalim (جوامع الكلم), doa ringkas dan padat, lengkap menyeluruh. Ikutilah keterangan ringkas doa ini di penghujung kisah indah ini, dalam ‘lampiran,’ biiznillah!

Doa inilah yang sangat menyentuh hati dan menggugah perasaan Almarhum, Ust. Rahman yang beliau sampaikan dalam diskusi dari hati ke hati, di rumah kediaman beliau, Wisma Temenggong, Jalan Padang, BSB! Beliau terkesan semasa membaca doa ini sangat terasa kecuaian dan kelemahan diri. Risau terhadap murka dan kemarahan Allah SWT. Mengharapkan redha dan kemaafan, al-Maula SWT. Diri terasa semakin kerdil di hadapan keagungan al-Maula SWT. Merasa diri semakin dekat dengan Allah, malah cinta Ilahi semakin meningkat. Demikanlah kesan Almarhum semasa diskusi.

  • Subhanallah! Hidup matinya dijaga Allah

عَاشَ بِخَيْرٍ وَمَاتَ بِخَيْرٍ

Hidup-matinya baik belaka.

Demikianlah janji Allah dalam Hadis Qudsi bagi pencinta masjid, Mukmin yang ringan langkahnya memenuhi panggilan azan atau seruan Ilahi, Hayya ‘alal Falah. Semua manusia normal, apalagi si mukmin yang merasakan kemanisan dan kehangatan iman, tentu mendambakan kebaikan dalam kehidupan yang dilaluinya. Bahkan menginginkan hidup-matinya, dan orang tersayang baik belaka dan dilindungi Allah, al-Maula SWT.

Dalam Hadis Qudsi riwayat Imam Tirmizi, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Allah SWT mengenai amalan yang sangat canggih pengaruhnya dalam proses pengampunan dosa yang diistilahkan dengan ‘Kaffarat /كفارات dan dalam menaikkan darjat pada sisi Allah. Baginda menyatakan bahawa kaffarat merangkumi tiga amalan utama, iaitu:

  1. Duduk iktikaf di masjid setelah menunaikan solat fardu berjamaah, dengan maksud menunggu solat berikutnya. Seperti menunggu solat Isyak setelah solat Maghrib berjamaah. Jangan keluar setelah solat Maghrib.
  2. Ringan langkah kepergian ke rumah Allah bagi tujuan solat fardu lima waktu berjamaah. Peka terhadap seruan azan dan solat berjamaah.
  3. Berwuduk dengan kemas dan sempurna pada saat terasa malas berwuduk. Contohnya, disebabkan faktor kesihatan atau semasa keadaan sejuk.

Sementara faktor yang menaikkan darajat pula:

  1. Rajin memberi salam.
  2. Bersedekah makanan.
  3. Menunaikan solat malam.

Lalu Allah SWT menegaskan kepada Rasul-Nya,

صدقت، ومن فعل ذلك عاش بخير، ومات بخير، وكان من خطيئته كيوم ولدته أمه.

‘Betullah penjelasanmu ini. Barangsiapa melakukan amalan ini nescaya hidup matinya baik belaka. Malah statusnya bersih seperti baru dilahirkan ibunya.’ https://www.islamweb.net/ar/fatwa/52031/

Dengan erti kata tidak perlu dirisaukan tentang hal kematian yang mengerikan, kerana Allah telah mengambil alih urusannya. Demikian juga mengenai bahaya dan risiko dosa, kerana si hamba bersih bagaikan si anak baru dilahirkan.

Almarhum Ustaz Abdul Rahman yang dikasihi sangat tekun melakukan dua pendekatan di atas, kaffarat dan darajat. Yang msing-masing terdiri dari tiga pecahan. Dua faktor utama ini penyebab para malaikat di langit kagum. Hadis ini lebih dikenal dengan Hadis al-Ikhtsom (اختصام المللأ الأعلى).

Seperti yang disebut terdahulu, dalam penghujung Hadis tersebut dinyatakan bahawa si mukmin yang tekun mengamalkan enam pendekatan di atas, nescaya hidup matinya baik belaka, malah akan bersih dari dosa yang dilakukannya, bagaikan anak kecil yang baru lahir (كيوم ولدته أمه).

RUMUSAN ☞Si mukmin yang merasa aman tenteram, yang merasa selesa dan bahagia saat berada di rumah Allah, seperti halnya generasi awal umat, nescaya kematiannya mustahil akan disia-siakah Allah. Subhanallah. Ingatlah Allah, nescaya Allah mengingatimu (فاذكروني أذكركم). Malah malaikat petugas khas akan memberi suntikan semangat dan motivasi bagi Mukmin yang istiqamah saat bertarung dengan maut. Atau saat ruh akat dicabut (QS, Fussilat: 30-32). Maka di samping jaminan Rasulullah SAW di atas, kita telah banyak mengetahui kisah benar membuktikan apa yang dijanjikan baginda. Dalam hal ini termasuklah kisah indah Almarhum sendiri.

  • Khas mengenai kehadiran solat subuh,

Almarhum terpilih menghadap Allah, al-Maula SWT waktu Solat Subuh. Waktu yang amat mulia ini mempunyai tempat dan kedudukan tersendiri pada sisi Allah dan Rasul. Mengikut Hadis Riwayat imam Muslim, dalam pesanan khasnya baginda, Rasulullah SAW memberi penekanan,

«مَن صَلَّى الصُّبْحَ فَهو في ذِمَّةِ اللهِ، فلا يَطْلُبَنَّكُمُ اللَّهُ مِن ذِمَّتِهِ بشيءٍ فيُدْرِكَهُ فَيَكُبَّهُ في نَارِ جَهَنَّمَ».

Barangsiapa bersolat fajar berjamaah di masjid, ia berada dalam penjagaan dan jaminan Allah. Maka tiada seorang jua pun yang boleh menyakiti atau menzaliminya. Jika ada yang berani menzaliminya nescaya Allah sendiri akan menuntut hak penjagaannya. Lantas si zalim ini akan dihumban ke dalam api neraka. (Wal ‘iyazu billah).  https://dorar.net/hadith/sharh/25391

Sungguh luar biasa hebatnya perlindungan dan kasih sayang Allah bagi si Mukmin yang hadir solat Subuh berjamaah di masjid atau surau. Hal ini membuktikan kasih sayang dan perlindungan Allah kepada Almarhum yang dicintai.

Memandangkan peri pentingnya solat fardhu berjamaah di masjid pada zaman awal Islam, maka Abdullah bin Umar (ra) beliau termasuk yang ditarbiyah oleh Rasulullh sejak awaal usia remaja, pernah menyatakan kesan dan minda indah generasi awal:

«كنَّا إذا فقدنا الرَّجل في صلاة العشاء وصلاة الفجر، أسأنا به الظَّنَّ»

‘Pada zaman sahabat, jika kami mendapati si lelaki tidak hadir solat berjamaah Isyak dan Subuh, maka pada pandangan kami jatuhlah status orang tersebut.  https://dorar.net/hadith/sharh/121076

Oleh itu setahu saya Almarhum sangat mengambil berat mengenai solat fardhu Isyak dan Subuh di masjid. Di samping solat-solat yang lain juga. Beliau juga sangat peka terhadap penggunaan masa terhadap perkara yang sia-sia. Tidak mungkin beliau hanyut pada malam hari dengan perkara yang kurang atau tidak berguna sehingga solat fardu subuh di rumah Allah terkorban. Seperti kebanyakan si lalai pada era komunikasi canggih sekarang ini. Wallahul musta’an!

Dalam kaitan ini menurut ulama segala keutamaan mengenai fadilat dalam beramal ibadat, seperti solat berjamaah di rumah Allah, memerlukan dua syarat utama yang kebanyakan manusia tidak memilikinya dengan baik. Iaitu niat yang betul dan gambaran yang jelas tentang pahala yang dikemukakan. Dengan kata lain niat dan tasawwur (النية والتصور).

Nah, si mukmin yang ingin cemerlang dalam menempuh perjalanan menuju ke redhaan Allah, sepatutnya rajin dan tekun meneladani sejarah dan kisah para solihin pilihan Allah, biiznillah!

فتشبهوا إن لم تكونوا مثلهم     إن التشبه بالرجال فلاح

Contohilah orang yang baik-baik meskipun tidak serupa persis

Mencontohi insan pilihan adalah satu kejayaan besar

Di samping itu, pada saat kematian si hamba, Allah senang dan si hamba juga senang. Sepertimana dijelaskan dalam Hadis berikut (HR Bukhari-Muslim, dll):

‘Aisyah (ra) pernah menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengingatkan:

  • “Barang siapa yang menyukai saat pertemuan dengan Allah, nescaya Allah juga menyukai saat berjumpa dengannya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menyukai saat berjumpa dengan Allah, nescaya Allah tidak menyukai saat berjumpa dengannya.”
  • Siti ‘Aisyah bertanya ‘Wahai Nabiyullah! Adakah hal ini bermaksud mengenai keengganan menghadapi saat kematian? Kami ini semuanya tidak menyukai kematian.’
  • Rasulullah menjelaskan: ‘Maksudnya bukan sedemikian. Akan tetapi, ketika ruh akan dicabut, saat si mukmin diberi motivasi untuk mendapatkan rahmat – keredhaan dan syurga Allah, dia ingin menjumpai Allah. Lantas Allah ingin menjumpainya.
  • Sebaliknya, ketika si kafir diberitahu bahawa dia akan menerima azab dan kemurkaan Allah, dia terasa benci atau tidak suka menjumpai Allah. Lantas Allah juga tidak suka menjumpainya.’ (HR Muslim). https://www.alukah.net/sharia/0/124778/

Alhamdulillah, mesej mengenai pemergian sahabat Jannah ini saya terima semasa saya berolah raga. Di Taman Mahkota Juble Emas, berhampiran MOAS, Bandar Seri Begawan. https://en.wikipedia.org/wiki/Taman_Mahkota_Jubli_Emas

Perkongsian ini ditulis setelah berada di kediaman, Jalan Kiarong, Bandar Seri Begawan. Dan disempurnakan di Surau Balai Polis (PRG), Beribi.

  • Rumah Allah Syurgaku – Temanku Syurgaku – Rumahku Syurgaku.

Berita duka, berpulang kerahmatullah, sahabat yang dikasihi ini, membawa motivasi bagi si Mukmin. Sebagai bukti apa yang dijanjikan  dalam Hadis Nabi di atas, bahawa Pencinta masjid yang beramal berdasarkan ilmu dan keyakinan, hidup matinya akan dijaga Allah. Maka bagi saya berita duka yang diliputi rahmat yang tiada tara ini bagaikan tiupan angin syurga yang berhembus pada pagi jumaat, sebaik sahaja saya selesai solat fardhu Subuh, di MOAS. Masjid MOAS inilah termasuk rumah Allah yang sangat bertempat di hati almarhum Ust. Abdul Rahman. Masjid yang hanya jarak 1 km. dari kediaman Almarhum. Masjid yang dekat dimata dekat dihati insan pilihan dan kekasih Allah ini.

dalam kaitan lain, saat akan dibawa ke tanah kuburan, dalam Hadis riwayat imam Bukhari dikisahkan, Rasulullah pernah juga menjelaskan,

إِذَا وُضِعَتِ الجِنَازَةُ، فَاحْتَمَلَهَا الرِّجَالُ عَلَى أَعْنَاقِهِمْ، فَإِنْ كَانَتْ صَالِحَةً قَالَتْ: قَدِّمُونِي، قَدِّمُونِي، وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ صَالِحَةٍ قَالَتْ: يَا وَيْلَهَا، أَيْنَ يَذْهَبُونَ بِهَا؟ يَسْمَعُ صَوْتَهَا كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الإِنْسَانَ، وَلَوْ سَمِعَهَا الإِنْسَانُ لَصَعِقَ

  • Ketika jenazah diletakkan dalam keranda, lalu dibawa oleh jemaah di atas pundak mereka, jika jenazah Mukmin yang soleh, ia mendesak, ‘Cepatlah bawa saya, cepatlah bawa saya.’
  • Namun, jika jenazah tersebut bukan jenazah yang soleh, ia akan menanya ahli keluarga ‘Kemanakah mereka akan menghantar atau membawanya.’
  • Suara ratapan si mayat didengar oleh semua makhluk. Hanya manusia yang tak mendengar ratapan tersebut. Jika manusia mendengar ratapan mayat yang akan diantar ke kubur, nescaya mereka akan jatuh pingsan.

Maka sahabat kita Almarhum Ust. Abdul Rahman telah terpilih selaku insan yang dimuliakan pada sisi Allah berdasarkam tempat dan masa ruh beliau dicabut telah diatur dan diurus dengan baik. Kedudukan yang mulia seperti ini hanya bagi Mukmin kekasih Allah.

Dalam Hadis ini dinyatakan bahawa si hamba yang soleh bergembira saat menuju tanah perkuburan. Justeru dalam Qur’an manusia yang ketinggalan melakukaan amal soleh akan dililit penyesalan saat akan meninggal dan ketika di Hari Pembalasan. Malah mereka meminta diberi kesempatan beramal soleh. Meminta dipanjangkan usia atau dikembalikan ke dunia untuk berama soleh. (QS, al-Mukminun: 99-100; al-Sajdah: 12). Namun nasi sudah jadi bubur. Atau hanya bagai burung pungguk rindukan bulan. Maka sewajarnyalah si Mukmin jangan menjauhkan diri dari Sang Kekasih,

مَا لَكُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Sudah jelas tiada bagimu Penolong dan Pelindung hanyalah Allah. Tidakkah kamu menyedarinya lagi? (QS, al-Sajdah: 4).

Masih banyak kisah dan kenangan indah bersama kekasih Allah ini, Ustaz Abdul Rahman, pencinta masjid ini. Biiznillah, sorotan ini masih bersambung…

Peristiwa indah seperti ini juga dalam bahagian lain dalam karya ini ada disorot berkenaan dengan kisah gemilang wanita mukminah pilihan Allah, Ibu Rahmah yang meninggal dalam masjid sesudah solat maghrib. Kejadian indah ini berlaku di Sumatera Barat, Indonesia pada hari Jumaat malam Sabtu, 24 Zulhijjah 1431 / 01 Dec 2010. Beliau Kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun.

Lampiran

  • Doa Rasul SAW Semasa Sujud Tahajud

Doa ini termasuk induk doa yang sangat berkesan bagi Almarhum, Ust Abdul Rahman. Doa yang tekun beliau baca semasa sujud. Beliau membaca doa Nabawi ini dengan lidah dan hati sucinya. https://www.alukah.net/sharia/0/118498/

«اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ،

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ؛ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ»

 Ya Allah, dengan berkat keredhaan-Mu lindungilah diriku dari kemurkaan-Mu. Dengan berkat keafiatan-Mu lindungilah diriku dari siksaan-Mu. Dengan berkat rahmat-Mu, lindungi diriku dari murka-Mu. Daku tidak mampu meluahkan pujian ke atas-Mu. Engkau sepertimana yang Dikau puji sendiri ke atas Zat-Mu (HR Muslim).

  • Antara maksud doa ini,

Ya Allah, dengan berkat keredhaan-Mu lindungilah diriku dari kemurkaan-Mu. Keredhaan Allah SWT adalah matlamat hidup mukmin, hamba mukmin bergiat menjauhkan diri dari punca-punca kemurkaan-Nya. Manusia terbahagi dua, golongan yang berbahagia adalah mereka yang kehidupannya diredhai Allah. Justeru golongan yang rugi adalah mereka yang terjerumus ke dalam kemurkaan Allah. Hamba yang menegakkan solat, siyam, zikir, dan lain-lain yang diredhai Allah adalah yang bergiat menjaga keutuhan amalan yang mereka lakukan. Sementara si hamba yang terjatuh dalam kemurkaan Allah, tidak bergiat ‘menjauhi’ punca-punca ibadatnya terhapus dan terhebah atau tertransfer, wal ‘iyazu billah!!!

Justeru kemurkaan Allah yang sangat ditakuti adalah suul khatimah. Dengan demikian Almarhum telah diberi kurnia husnul khatimah, meninggal duni dalam ketaatan, di rumah Allah malah pada waktu dan suasana yang istimewa. Sasaran doa yang merupakan kegemaran Almarhum sudah menjadi realiti, Alhamdulillah.

Dengan berkat keafiatan-Mu lindungilah diriku dari siksaan-Mu. Keafiatan’ adalah termasuk perkataan Arab yang telah digunapakai dalam bahasa Melayu. Dan termasuk perkataan yang terpenting di dalam kehidupan mukmin. Oleh itu si mukmin digesa membaca dan berdoa dengan doa ini semasa solat, doa duduk antara dua sujud, waa’fini (وَعَافِنِي), berilah daku keafiatan. Termasuk makna keafiatan ialah terhindar:

  • Dari segala penyakit jasmani dan penyakit Ruhani. Covid 19…
  • Dari dosa dan punca-punca dosa.
  • Dari punca-punca penyebab iman menjadi lemah.
  • Dari punca-punca keberkatan harta benda dan usia hilang.
  • Dari su’ul khatimah (kesudahan yang buruk).
  • Dari azab kubur, azab padang mahsyar.
  • Dari azab neraka…
  • Dan sebagainya…

Dalam pada itu ’seksaan Allah’ dalam doa pula adalah segala perkara yang bercanggah dengan keafiatan tersebut. Oleh itu jika si hamba tidak beroleh keafiatan, ia akan terdedah kepada siksaan. Media elektronik pada masa kini adalah punca utama manusia terjauh dari keafiatan dan terdedah kepada siksaan. Dalam hal ini yang paling anehnya seksaan jenis ini sangat selaras dengan kehendak nafsu ammarah, wal ’iyazu billah…

Jika si hamba beroleh kafiatan nescaya dirinya akan meraih husnul khatimah saat meninggal dunia. Satu kedudukan mulia yang dianugerahkan Allah keapda Ust. Abdu Rahman (رحمه الله).

Lindungi diriku dari murka-Mu. Ungkapan ini mengandungi, doa, harapan, pengakuan, penyerahan, atau tawakal yang jitu, bulat, dan sempurna kepada Allah. Bahawa si hamba memohon perlindungan, penjagaan Allah, kerana segala peristiwa dan keadaan yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah. Allah adalah sebaik-baik tempat berlindung (نعمل المولى ونعم النصير). Sesiapa yang berlindung kepada Allah tidak akan memiliki sebarang kerunsingan, kerana Allah telah cukup baginya ( فهو حسبه). Dengan sifat tawakkal kepada Allah, maka Allah SWT telah menjaga Alamarhum hingga ke penghujung usia ketaatan beliau.

Daku tidak mampu meluahkan pujian ke atas-Mu Hal ini menunjukkan keagungan dan ketinggian Allah yang tiada tara, ( ليس كمثله شيء). Tidak ada manusia yang mampu mengemukakan pujian kepada Allah. Kerana hal ini adalah diluar keupayaan manusia. Malah Rasulullah sendiri pun tidak. Ungkapan doa ini adalah satu pujian yang tinggi. Bila si hamba mengatakan bahawa ia tidak mampu memuji Allah Tuhan Yang Maha Tinggi, dan Yang Maha Agung, bermakna ia memberikan pujian kepada Allah setinggi-tingginya.

Engkau sepertimana yang Engkau puji sendiri ke atas diri-Mu Hanya Allah sahaja yang tahu akan hakikat sifat, kekuasaan, dan keagungan Zat-Nya. Ini juga termasuk pujian dan sanjungan yang tinggi.

Bila pujian yang tinggi seperti ini ditujukan kepada Allah, sedangkan termasuk sifat Allah adalah, Maha Rahman, Maha Rahim, Maha Pengampun, Maha Pemaaf, malah Allah lebih kasih kepada hamba-Nya dari si hamba terhadap dirinya sendiri. Bila inilah hakikat dan maksud tujuan doa tersebut maka sangat diharapkan doa yang merupakan induk segala doa ini didengar dan dikabulkan oleh Allah SWT. Maka patut benarlah Rasulullah SAW mengajarkan doa ini kepada kita, terutama semasa sujud dalam solat, khasnya solat tahajud, dan solat-solat sunat lainnya. Tidak salah juga jika dibaca dalam doa harian. Doa ini sangat sesuai bagi semua peringkat usia, terutama golongan veteran (والله الموفق).

Waba’du, maka dalam diskusi yang disebutkan di atas, doa nabawi khas ini sangat digemari oleh almarhum. Beliau membaca doa ini dengan penghayatan. Malah beliau pernah meluahkan kesan indah yang beliau dapati semasa berinteraksi dengan doa ini dalam sujud. Maka sungguh patut sekali doa istimewa ini menjadi pilihan Rasulullah semasa sujud solat malam pada penghujung malam. Saat limpah kurnia Allah mencurah-curah.

  • Kelebihan doa & pencegah covid 19.
  1. Termasuk doa Nabawi. Rasulullah membaca doa ini semasa sujud solat qiyamu lail. Ini menunjukkan doa ini penting.
  2. Saat bersujud adalah suasana indah, saat anda paling dekat dengan Allah.
  3. Doa ini sangat sesuai digunakan untuk doa tolak bala termasuk wabak covid 19, dll.
  4. Dalam doa ini, si hamba meminta supaya dilindungi Allah dari kemurkaan dan siksaan. Bencana wabak adalah termasuk kemurkaan dan siksaan akibat dosa yang dilakukan umat.
  5. Termasuk maksud tersirat doa ini agar si Mukmin terhindar dari kelalaian, kedosaan, malah dari su’ul khatimah. Wal’iyazu billlah!
  6. Dalam doa nan indah ini terkandung mesej tawakkal. Allah berjanji akan melindungi si hamba yang bertawakallah.
  7. Pujian yang sangat tinggi. Justeru pujian termasuk dalam adab berdoa. Malah memuji, lebih dari berdoa. Si Mukmin wajib memuji Allah. Allah SWT sangat suka dipuji, Alhamdulillah.

06 September 2020, Bandar Seri Begwan.

(Manhajuna/IAN)

(Visited 963 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Lihat Juga:

Khutbah Jumat di Masjidil Haram

Oleh: Ustadz Ahmad Musyaddad Bagi segenap kaum muslimin yang berada di Masjidil Haram dan ingin …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *