Hijri Calendar by Alhabib
Beranda / Hikmah / Kemanisan Mendekati Para Solihin
>> Sponsorship/Donasi Website Manhajuna <<

Kemanisan Mendekati Para Solihin

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA

Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Orang yang bergaul dengan solihin akan meraih keberkatan dan meraih kebaikan yang mereka peroleh, meskipun ia tidak melakukan seperti amalan mereka. Ahli hikmah berujar: ‘Siapa yang bergaul dengan orang baik, nescaya ia akan meraih keberkatan orang baik tersebut. Orang yang bergaul dengan awliya tidak akan kecewa. Meskipun seekor anjing. Seperti anjing ashabul kahfi.’

Termasuk hikmatnya juga, bahawa secara fitri manusia suka dan mudah mencontohi sahabat sepergaulan. Cepat terkesan dengan ilmu, amalan, akhlak, dan cara hidupnya. Rasulullah SAW berpesan ‘Manusia itu mengikut agama teman baiknya. Maka kamu perlu perhatikan siapa yang akan kamu pergauli.’ (HR Abu Daud).

Teman yang soleh akan memperlihatkan keaiban anda. Akan memberitahu kelemahan anda. Imam Hasan Basri (رحمه الله) berujar: ‘Mukmin adalah laksana cermin bagi saudaranya. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik pada temannya, ia akan menutupi, membetul, dan memeliharanya. Malah akan menjaga hal tersebut semasa bersunyi diri dan dalam khalayak ramai.’

Anda berpeluang memperbaiki kesilapan gerak langkah anda. Malah dalam urusan ibadat juga. Iaitu menerusi usaha membandingkan amal ibadat anda dengan teman sepergaulan anda.

Saat anda duduk bersama teman soleh, anda terhindar dari kemaksiatan. Teman soleh akan mengajar dan membimbing anda perkara kebaikan yang perlu anda ketahui. Dengan bergaul bersama para solihin masa anda terpelihara. Masa adalah wadah setiap amalan. Teman soleh akan memelihara nama baik anda semasa anda bersamanya. Saat anda tidak bersama. Ia tidak akan membuka rahsia anda. Tidak akan mencarik wibawa anda.

Saat melihat para solihin dan golongan baik-baik, manusia akan teringat Allah. Rasulullah SAW berpesan: ‘Para wali Allah ialah jika manusia melihatnya, mereka akan teringat Allah. Qawus bin Uqbah (رحمه الله) berujar: ‘Saya terkadang bertemu dengan salah seorang saudara seiman, lantas buat beberapa hari akal fikiran saya akan bertambah dan hidup.’

Para sahabat soleh adalah penghias dan sumber kedamaian anda saat senang. Senjata anda saat menghadapi musibah. Sebaik-baik penolong dalam meringankan kegundahan, malah saat menyelesaikan masalah. Abdullah bin Masud pernah keluar menemui sahabat beliau, seraya berujar: ‘Kamulah pelenyap kedukaan bagiku.’ Aktham bin Saifi (رحمه الله) pernah mengatakan: ‘Menemui para kekasih pelenyap kegundahan.’  Malah Umar bin Khattab (رضي الله عنه) berujar: ‘Dekatilah teman yang jujur. Sentiasalah berdampingan. Mereka adalah penghias saat senang. Senjata saat susah.’

Lantaran anda banyak bergaul dengan ahlul khair, orang yang baik-baik, ini penyebab anda tergolong ke dalam ‘mereka yang tiada sebarang ketakutan bagi mereka; mereka tidak akan bersedih.’ Allah SWT mengingatkan:

«الأَخِلَّاءُ يَومَئِذٍ بَعضُهُم لِبَعضٍ عَدُوُّ إِلَّا المُتَّقِينَ، يَا عِبَادِ لا خَوفٌ عَلَيكُمُ اليَومَ وَلا أَنتُم تَحزَنُونَ»

‘Pada hari pembalasan para kekasih akan saling bermusuh, selain ahli taqwa. Wahai hamba-hamba-Ku, pada hari ini tiada sebarang ketakutan bagimu, dan tiada sebarang kesedihan.’ (QS, al-Zukhruf: 67-68).

Anda akan meraih keberkatan doa teman yang soleh tanpa anda ketahui, semasa hidup dan sesudah mati. Rasulullah SAW berpesan: ‘Doa si Muslim buat saudaranya saat ia tidak tahu sangat mustajab. Teman yang didoakan ada malaikat penjaga. Setiap ia mendoakan kebaikan buat temannya, malaikat tersebut akan merespon. ‘Amin, anda juga akan diberi sedemikian.’ (HR Muslim).

Abdullah bin al-Husein  (رحمه الله) berpesan: ‘Jalinlah persahabatan sebanyak-banyaknya dengan para solihin. Paling kurang faedah yang akan anda raih ialah saat mereka mendengar berita kematian anda, mereka akan berdoa buat anda.’

Saat anda duduk bersama para solihin, syaitan akan takut dan gerun. Sama ada syaitan jin dan syaitan manusia. Rasulullah mengingatkan: ‘Kamu perlu berada bersama Jemaah. Serigala hanya akan memakan ternak yang terpencil.’ (HR Imam Ahmad).

Duduk bersama saudara seiman, persahabatan, dan saling ziarah akan melahirkan kemanisan cinta Ilahi, cinta Allah SWT. Terdapat dalam Hadis Qudsi, Rasulullah SAW berpesan: ‘Pasti Aku mencintai mukmin yang saling mencintai. Saling mengunjungi, malah yang saling berkorban kepentingan.’ (HR Imam Malik).

Majlis bersama solihin adalah majlis zikrullah SWT. Rasulullah SAW berpesan: ‘Kumpulan yang duduk berzikrullah akan dikelilingi oleh malaikat. Mereka akan deselubungi rahmat. Mereka akan dituruni sakinah, atau ketenteraman. Malah nama mereka akan disebut pada sisi Allah.’ (HR Muslim).

Seseorang yang menziarahi saudara seiman, dirinya, perjalanannya baik belaka. Malah ia meraih tempat yang agung dalam syurga. Rasulullah SAW berpesan: ‘Sesiapa yang mengunjungi pesakit, atau menziarahi saudaranya seiman, nescaya ia akan diseru: ‘Sungguh baik sekali engkau ini, perjalananmu sungguh baik, malah engkau telah meraih tempat dalam syurga.’ (HR Tirmizi).

Termasuk buah manis ziarah solihin bahawa amalan ini akan melahirkan saling cinta Ilahi. Justeru saling cinta Allah ini akan melahirkan pelbagai buah cinta yang agung, melahirkan pelbagai kesan yang mulia dalam jiwa. Malah disebaliknya terdapat pahala yang mulia serta ganjaran agung.

Akhir kata, mendekati mukmin soleh akan memberi kemanfaatan buat anda dari pelbagai segi bagi kemaslahatan agama dan keduniaan.

Rasulullah SAW mengingatkan ‘Keutamaan si Mukmin: jika anda berjalan bersamanya ia akan memberi anda kemanfaatan; jika diajak berbincang ia akan memberi anda kemanfaatan; malah jika anda berkongsi sesuatu ia juga akan memberi anda kemanfaatan. Justeru segala perihalnya tetap bermanfaat belaka.’ (HR Abu Nuaim).

Wahai anakku, bergiatlah wahai anakku, semoga anda beroleh taufik Allah meraih kebaikan. Bahawa anak Adam dianugerahi akal fikiran agar ia bergiat mengikuti akal fikiran. Engkau perlu memanfaatkan akal. Aktifkanlah akal anda. Bersahabatlah dengan diri sindiri. Ketahuilah bahawa anda adalah insan mukallaf. Engkau perlu melakukan berbagai kewajiban. Dua malaikat pendamping anda tetap mengira amalan anda dengan teliti, tutur kata, dan pandangan anda juga. Setiap nafas yang ditarik dan dihembuskan adalah langkah anda menuju penghujung usia. Tempoh tinggal di dunia ini sangat singkat. Malah jauh lebih lama lagi tempoh dalam kubur. Azab yang menanti lantaran menurutkan hawa nafsu sangat menakutkan. Fikirkanlah penyudahan segala perkara, nescaya anda akan merasa ringan melakukan kesabaran dalam menghadapi setiap keinginan jahat dan yang dibenci. Jika anda dikuasai kelalaian cubalah pergi melawat tanah pekuburan ingatkanlah diri anda bahawa saat kematian sangat dekat.

Dimanakah kelazatan hari kelmarin? Anda sudah pergi, yang tinggal adalah sesalan. Dimanakah kenikmatan nafsu? Berapa banyak orang yang perhatiannya dialihkan oleh nafsu, malah pendiriannya tegelincir?

Orang yang meraih kebahagiaan hanya dengan melawan nafsu. Orang yang celaka adalah lantaran mengutamakan keduniaan.

Ingatlah, melakukan kefarduan dan menjauhi segala yang haram adalah satu kemestian. Saat seseorang melanggar peraturan ini, neraka dan neraka menantinya.

Wahai anakku, hati-hatilah menjaga dirimu. Sesalilah kecuaian yang berlalu. Giatlah mengejar maqam kamilin, yakni golongan pilihan selagi kesempatan masih terbuka. Siramlah dahan kayu selagi masih basah. Sinsingkanlah lengan bajumu. Ingatlah peluang anda yang telah hilang, cukuplah buat pengajaran bagi anda. Pada waktu itu telah lenyap kelazatan bermalas. Luput sudah pelbagai martabat keutamaan.

Pernah seorang lelaki menangis. Lalu ada yang bertanya ‘Mengapa anda menangis?’ Jelas beliau: ‘Yang saya tangisi adalah hari yang berlalu tanpa puasa; dan malam yang berlalu tanpa qiyam.’

Ingatlah wahai anakku, hari-hari yang berlalu menghidangkan jam. Jam-jam yang dilalui menghidangkan nafas. Setiap nafas adalah khazanah atau perbendaharaan. Awasililah jangan sampai berlalu nafas tanpa manfaat. Lantas kelak pada hari kiamat perbendaharaan anda didapati kosong, lalu anda menyesalinya.  Muhasabahlah diri pada setiap pandangan dan tutur kata.

Tunaikanlah setiap hak kepada pemiliknya. Perhatikanlah setiap saat yang anda miliki ke mana perginya? Jangan biarkan saat tersebut berlalu selain kepada perkara yang paling berharga. Jangan abaikan dirimu. Biasakanlah dirimu melakukan amalan paling mulia dan terbaik. Kirim ke dalam kubur perkara yang menggembirakan anda pada saat anda terbaring di liang lahad. Orang bijak mengatakan:

Wahai orang yang sibuk dengan dunia tertipu oleh tulul amal. Maut datang mengejut, malah kubur adalah kotak amal.

http://midad.com/article/207853/ثمرات-مجالسة-الصالحين

https://www.facebook.com/messages/t/100233293866309

 (Manhajuna/IAN)

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA.

Dr. Ahmad Asri Lubis, MA. Alumnus S1 (International Islamic Call College, Libya), S2 Universitas Tripoli, dan S3 UPSI, Perak-Malaysia. Saat ini, Da`i asal Sumatera Barat ini berdakwah di Semenanjung Malaysia, Bandar Seri Begawan & Pensyarah (dosen) di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
(Visited 552 times, 1 visits today)

Beri Komentar (via FB)

http://bursanurulfikri.com/

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *