Oleh: Prof Dr Musthafa as-Sibai’, Rahimahullah
Alih bahasa: Dr. Hj. Ahmad Asri Lubis, Pusat Bahasa, KUPU SB, Negara Brunei Darussalam
Anda sendiri melihat umat islam dalam peperangan Badar, yang berlangsung pada 17hb Ramadhan. Tidakkah anda melihat bahawa mereka di saat itu memasuki medan peperangan dalam bilangan sedikit dan peralatan persenjataan yang serba kurang? Tetapi mereka berjaya meraih kemenangan dalam menghadapi barisan lawan dari kalangan bangsa mereka sendiri. Mereka meraih kemenangan yang gemilang yang tercatat dalam Al-Quran.
Anda melihat bahawa mereka telah berjaya meraih kemenangan tersebut hanyalah berkat ibadat puasa yang telah meniupkan semangat kekuatan membela kebenaran (al-haq) dan kebebasan yang sempurna di kalangan mereka. Hal inilah yang telah menjadikan mereka tampil ke medan pertempuran dengan semangat kekuatan dan semangat kemerdekaan yang ulet dan unggul. Jika mereka bertindak tegas dan kejam, itu adalah kekuatan daripada Allah; apabila mereka menembak atau memanah itu adalah dengan berkat kemuliaan Allah; apabila mereka melancarkan serangan dan menjelajahi persada bumi, itu adalah kerana dorongan motivasi dan petunjuk oleh kekuatan al-haq (kebenaran). Dan pancaran jiwa kebenaranlah yang memakbulkan matlamat dan sasaran perjuangan, dan faktor ini jugalah yang membimbing mereka untuk memerangi musuh-musuh agama.
Adakah anda mengamati bahawa peperangan-peperangan yang telah berjaya kita menangi di Yarmuk, al- Qadisiah, Jalula’, Hittin dan lain-lain? Adakah kejayaan luar biasa ini masih membuat barisan pengkaji sejarah berasa kagum tentang rahsia di sebalik kejayaan tersebut? Hanyalah disebabkan barisan para pejuang Islam menerapkan etika dan akhlak ahli shiam (puasa) termasuk sifat ‘iffah, cinta kemuliaan dan ketinggian, jiwa dan semangat pengorbanan, rela berkorban, ulet dalam menghadapi cabaran dan dugaan, tunduk dan taat kepada Allah, tidak mahu merendah diri kepada selain Allah, menganggap rendah terhadap segala kekuatan batil walau betapa banyak dan hebat sekalipun.
Akan tetapi mereka telah berjaya menghubungkan kekuatan mereka dengan kekuatan Allah, sedangkan Allah berbuat sekehendak-Nya?
**
WABA’DU, orang-orang yang menyambut kedatangan bulan Ramadhan hanya dengan:
Berlapar pada siang hari
Makan kenyang pada malam hari
Membaca zikir hanya dengan lidah sahaja
Memperbanyak tidur pada waktu siang,
Mereka ini adalah golongan yang tidak akan meraih sebarang faedah dan kemanfaatan dari ibadah puasa.
Sebaliknya, Orang yang menyambut ketibaan Ramadhan dengan perinsip bahawa bulan mulia ini adalah:
- Madrasah untuk memperbaharui iman,
- Madrasah mendidik ahklak mulia,
- Madrasah memperkuat jiwa dan ruh,
- Madrasah bagi memulakan kehidupan yang lebih berkualiti dan lebih sempurna,
Mereka inilah:
Yang akan dibukakan baginya pintu-pintu syurga pada bulan Ramadhan,
Ditutup buat mereka pintu-pintu neraka,
Didatangi para malaikat pada malam malam lailatul qadar dengan membawa berita gembira dan keselamatan.
Mereka inilah yang pada saat kepergian bulan Ramadhan Mubarak:
- Dosa-dosa mereka dihapuskan,
- Segala kejahatan mereka dilenyapkan,
- Hati mereka disinari Nur Allah,
- Keazaman mereka diperkuat oleh iman dan keyakinan.
Golongan inilah yang menjadi faktor utama dalam kebaikan atau perbaikan perihal dan keadaan yang sedang dialami umat, dengan sebab merekalah kemenangan dalam pertempuran (menghadapi musuh agama) dapat diraih. Merekalah yang merupakan sumber kebahagiaan masyarakat. Pada usia dewasa ini, disebabkan kita sedang berada pada kancah pertarungan dalam menghadapi kebatilan, kebinasaan, dan keruntuhan moral, maka kita sendiri lah yang akan membuat pilihan sama ada kita hidup terhina, ataupun kita hidup sebagai umat yang terhormat dan mulia.
Wahai golongan orang yang beriman, wahai umat Islam, Rasulullah (SAW) berpidato pada akhir bulan Sya’ban terhadap para sahabat:
“Wahai umat manusia, Kamu sekarang telah berada dalam naungan bulan yang mulia lagi Mubarak [Ramadhan Mubarak]. Bulan terdapat di dalamnya Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang mana Allah (swt) menjadikan shiamnya fardhu, dan qiyamnya sunat. Sesiapa yang melakukan ibadat sunat pada bulan ini sama dengan menunaikan ibadat fardhu di bulan lain. Dan sesiapa mengerjakan amalan fardhu pada bulan ini sama dengan mengamalkan 70 ibadat fardhu di bulan lain. Bulan ini adalah bulan melatih sifat sabar, sifat sabar balasannya adalah syurga. Bulan di mana hamba mukmin memperbanyak menghulurkan bantuan (kebendaan…) kepada saudaranya yang memerlukan, bulan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Bulan ditambah di dalamnya rezeki hamba mukmin. Sesiapa yang memberi makanan atau minuman bagi kegunaan berbuka pada bulan ini kepada orang yang berpuasa, dosa-dosanya akan diampunkan, ia akan dibebaskan dari neraka dan ia akan beroleh seperti ganjaran puasa orang yang diberinya makan-minum tersebut, tanpa berkurang pahalanya sedikit jua pun. Bulan Ramadhan ini awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah magfirah (keampunan), dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka. Perbanyaklah dalam bulan ini melakukan empat perkara; dua di antaranya agar anda melakukan perkara yang disukai dan diredhai Allah. Dua perkara lagi adalah merupakan keperluan asas kamu sendiri, yang mesti kamu perlukan. Adapun dua perkara yang disukai atau diredhai oleh Allah ialah: Syahadah lailaha illallah (la ilaha illallah); dan istighfar. Adapun dua perkara yang merupakan kemaslahatan atau kepentingan setiap kamu sendiri ialah: “Memohon kepada Allah agar kamu di masukkan ke dalam syurga; dan memohon perlindunganNya agar kamu di jauhkanNya atau dimerdekakanNya dari neraka. Sesiapa yang memberi minum orang yang berpuasa, Allah akan memberinya minum dari air telagaku kelak, ia tidak akan merasa haus dan dahaga sesudahnya, sehingga ia masuk ke syurga”. (HR. Ibnu Khuzaimah).
Dalam satu hadis lain baginda bersabda: “Kamu didatangi bulan ramadhan, bulan penuh keberkatan, Allah (SWT) menyelubungi kamu pada bulan ini dengan rahmat-nya, Allah bermegah-megah dengan kamu terhadap para malaikat-Nya. Maka oleh itu kamu hendaklah memperlihatkan kepada Allah dari perihal diri kamu sendiri akan “kebaikan”. Kerana golongan yang celaka adalah orang-orang yang tersekat atau terhalang pada bulan ini dari rahmat Allah (‘azza wajalla)”. (hadis riwayat at-Tabarani).
Demikianlah himbauan atau seruan Rasulullah (SAW) pada menjelang bulan Ramadhan. Baginda menggugah keazaman barisan mukminin untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Ungkapan baginda melapangkan dada golongan mukmin kerana sepanjang bulan Ramadhan mereka dicurahi oleh keberkatan dan rahmat. Baginda merangsang dan menggugah jiwa dan semangat mereka kerana shiam akan memancarkan sinar atau nur kekuatan ke atas umat.
OLEH itu, Kamu hendaklah bersiap-siap meraih keutamaan Ramadhan, persiapkanlah diri anda untuk menerapkan budi pekerti dan etika mulia Ramadhan, persiapkanlah diri anda untuk memperoleh faedah dari hikmat dan rahsia-rahsia Ramadhan. Rebutlah dengan segera wahai golongan mukmin. Pasaran syurga telah pun mula dibuka. Wahai golongan yang masih lengah dan lalai, Allah telah menghulurkan bantuan rahmat dan keampunan-Nya kepadamu.
Baca juga: Ramadhan Mubarak Tetamu yang Dicintai (Bag. 1)
(Manhajuna/IAN)